Piagam kerjasama UMNO dan Pas di peringkat akhir

Zambry (kanan) ketika sesi dialog bersama penduduk DUN Manong di Kedai Pau Manong, lewat petang semalam.
A
A

KUALA KANGSAR - Piagam melibatkan kerjasama UMNO dan Pas sudah berada di peringkat akhir dan hanya menunggu masa untuk dibawa ke peringkat tertinggi kedua-dua parti.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, satu perhimpunan perisytiharan piagam bersama antara UMNO dan Pas akan diadakan selepas mencapai kata sepakat dari peringkat tertinggi parti masing-masing.

"Alhamdulillah, saya turut diberi tanggungjawab untuk berada dalam perbincangan piagam ini. Insya-ALLAH kita dah capai peringkat akhir dan dipersetujui kedua-dua pihak.

"Hanya menunggu masa untuk dibawa ke peringkat tertinggi kedua-dua belah pihak untuk mencapai kata sepakat dan seterusnya mengadakan satu perhimpunan perisytiharan piagam bersama," katanya ketika berucap pada sesi dialog bersama penduduk Manong, di Kedai Pau Manong.

Bekas Menteri Besar Perak itu berkata demikian ketika menjawab pertanyaan salah seorang penduduk mengenai kerjasama antara UMNO dan Pas dalam pembahagian kerusi Parlimen serta DUN bagi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurut Zambry, pihaknya yakin persefahaman antara UMNO dan Pas tidak akan menghadapi masalah besar kerana mereka bekerja bersama-sama kepada perkara yang membawa kebaikan dan takwa.

Menurutnya, gambaran awal mengenai perkara asas dalam persefahaman melibatkan kerjasama kedua-dua parti ini sudah ada namun ia perlu dibincang dan diperhalusi.

"Contohnya, mana yang kerusi Pas, milik Pas lah. Mana kerusi UMNO, milik UMNO. Cuma mungkin yang kita kalah itu kita akan bincang dan saya beri gambaran awal asas sudah ada cuma nak kena bincang.

"Kita adakan perbincangan tapi akhirnya kita kena bertawakal dan Insya-ALLAH kita dapat laksanakannya dan saya faham itu adalah antara asas yang sangat mustahak," katanya.