Kerjasama UMNO, Pas resahkan PH

TENGKU HAPHIZ
TENGKU HAPHIZ
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pemuda UMNO Terengganu menyifatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini semakin resah ekoran pengukuhan kerjasama yang dijalinkan oleh Pas dan UMNO yang diperkemas menerusi Piagam Muafakat Nasional yang akan dimeterai Ogos nanti.

Ketua Pemudanya, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, Piagam Muafakat Nasional yang dibentuk hasil penyatuan ummah antara kedua-dua parti itu dijangka menjadi pencetus kepada gelombang kebangkitan rakyat.

“Susulan pengukuhan kerjasama antara UMNO dan Pas ini, kita lihat banyak kenyataan-kenyataan dikeluarkan terutama oleh Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri yang menyeru supaya parti-parti politik Melayu menyertai parti itu.

“Kita lihat, apa yang dilakukan oleh mereka ialah cuba menjuarai sentimen rakyat. Tetapi pelawaan itu dah lapuk. Kalau mereka mahu buat begitu sepatutnya 22 tahun lalu, bukan selepas UMNO dan Pas ‘bersama’,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Mengulas lanjut, beliau mendakwa, pelawaan itu juga seolah-olah ‘meludah ke langit akhirnya jatuh ke muka sendiri’ di mana punca perpecahan orang Melayu kepada enam parti disebabkan oleh Dr Mahathir sendiri sebagaimana disebut oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini.

“UMNO dan penyatuan Melayu telah lama, kita tak pernah lari daripada perjuangan asal untuk satukan bangsa Melayu dan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kita mulakan hubungan strategik dengan Pas atas tiket penyatuan ummah.

“Saya rasa, baharu sekarang beliau (Dr Mahathir) nampak hasil penyatuan orang Melayu di bawah ‘satu payung’ dan cuba ambil kesempatan,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pembahagian jawatan Exco kerajaan negeri antara yang diperincikan dalam Piagam Muafakat Nasional UMNO-Pas yang akan dimuktamadkan Rabu ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pembahagian kuasa susulan taawun siyasi dua parti itu akan ditentukan dalam piagam berkenaan yang dirangka oleh Jawatankuasa Teknikal kedua-dua parti.

Jawatankuasa Perunding Pas-UMNO akan dianggotai 11 orang daripada setiap parti iaitu diketuai Timbalan Presiden UMNO dan Pas, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Piagam itu juga dijangka ditandatangani Presiden UMNO dan Pas iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerusi acara rasmi yang akan diadakan bulan depan.