Malaysia perlu aktif perkukuh hubungan dengan China

357565
357565
A
A
A

PETALING JAYA - Malaysia perlu aktif dan proaktif dalam mengukuhkan hubungan dua hala dengan China berikutan terdapat banyak kelebihan yang boleh dimanfaatkan, terutamanya di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Penasihat Kanan Institut Penyelidikan Khazanah, Dr Jomo Kwame Sundaram berkata bagaimanapun, hubungan yang erat antara kedua-dua negara itu perlu berdasarkan kepada hubungan sama rata dan tidak berat kepada satu pihak sahaja.

“Kita tidak mahu hubungan seperti yang terjadi kepada negara besar yang lain di mana kita seolah-olah dijadikan alat dalam politik mereka.

“(Sebagai contoh hubungan) yang kita peroleh manfaat menerusi pelaburan syarikat China di Malaysia ialah (kerjasama strategik) antara Geely dan Proton,” katanya kepada pemberita di luar Forum Unjuran Malaysia-China 2019 di sini, hari ini.

Jomo berkata Geely sebagai rakan kongsi strategik asing memberi prospek yang besar kepada Malaysia terutamanya dalam pasaran kereta pemanduan sebelah kanan di Asia Tenggara berikutan status Proton sebagai hab pengeluaran global bagi model kereta tersebut.

Sehingga kini, semua produk kenderaan Geely adalah pemanduan sebelah kiri.

“Kalau kita berjaya dalam strategi ini, kita boleh jadi seperti Thai Rung di Thailand. Kita memerlukan seseorang, mungkin Perdana Menteri, untuk menasihati Proton tentang cara lebih baik untuk berunding (berikutan) sekarang, ia bukan dimiliki kerajaan," katanya.

Pada Mei tahun lepas, DRB-Hicom Bhd menjual 49.9 peratus kepentingannya dalam Proton Holdings Bhd dan 51 peratus saham dalam Lotus kepada Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd. - Bernama

Artikel Berkaitan: