Tsunami: Tiada laporan rakyat Malaysia terbabit

- Foto AP
- Foto AP
A
A
A

JAKARTA - Tiada rakyat Malaysia terbabit dalam kejadian tsunami yang berlaku akibat letusan gunung berapi Anak Krakatau di Selat Sunda, setakat ini.

Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia dalam satu kenyataan berkata Kedutaan kini memantau kejadian itu dan rakyat Malaysia yang terjejas dan memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi pegawai bertugas di talian ‭+62 813 80813036‬.

"Sehingga kini, tiada laporan diterima mengenai rakyat Malaysia terlibat dengan kejadian ini," kata kenyataan itu.

Berdasarkan pendataan sementara pihak berkuasa Indonesia sehingga pukul 7.00 pagi ini, sekurang-kurangnya 43 orang terkorban dan hampir 500 mangsa cedera dalam kejadian tsunami yang berlaku 9.27 malam tadi.

Menurut Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) Sutopo Purwo Nugroho, faktor utama penyebab tsunami masih dalam penyelidikan oleh Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG).

"Tsunami itu bukan disebabkan gempa bumi, kemungkinan disebabkan berlaku pergerakan tanah di bawah dasar laut akibat letusan gunung Anak Krakatau dan berlaku gelombang air pasang dan kombinasi itu menyebabkan berlakunya tsunami secara tiba tiba," katanya.

Sutopo berkata pihak berkuasa Indonesia terdiri daripada BPBD, tentera, polis dan agensi agensi berkaitan sedang menangani situasi itu, dengan jumlah kematian dikhuatiri terus meningkat. - Bernama

Artikel Berkaitan: