Banjir: Dua sekolah ditutup sementara

Pusat Perpindahan Sementara bagi mangsa-mangsa banjir di SK Belimbing Dalam, Durian Tunggal.
Pusat Perpindahan Sementara bagi mangsa-mangsa banjir di SK Belimbing Dalam, Durian Tunggal.
A
A
A

MELAKA - Dua buah sekolah di negeri ini yang menjadi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi mangsa-mangsa banjir ditutup sementara hari ini.

Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Abu Bakar Sahari berkata, sekolah berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Krubong yang terletak di dalam Daerah Melaka Tengah dan SK Belimbing Dalam di Alor Gajah.

Menurutnya, kedua-dua sekolah berkenaan akan beroperasi semula apabila keadaan mengizinkan.

"Sekolah berkenaan ditutup sementara berikutan bilangan mangsa yang ditempatkan di situ agak ramai termasuk murid-murid terlibat.

"Sekolah akan beroperasi semula apabila keadaan mengizinkan walaupun ada lagi mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan disitu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sehingga jam 8 pagi tadi, seramai 246 mangsa dari 58 buah keluarga masih ditempatkan di SK Krubong manakala SK Belimbing Dalam masih menempatkan seramai 343 orang mangsa daripada 87 keluarga.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Lt Kolonel (PA) Effendy Ali berkata, setakat ini seramai 1,117 mangsa banjir masih ditempatkan di PPS membabitkan 250 buah keluarga di daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah.

"Antara kawasan terjejas di Alor Gajah adalah di Kampung Gadek, Paya Datuk, Bukit Balai, Bukit Tambun, Taman Seri Bayu 1 dan 2, Kampung Belimbing Dalam dan Kampung Sungai Tuang, Masjid Tanah.

Artikel Berkaitan:

"Manakala bagi daerah Melaka Tengah kawasan terlibat di Taman Tamby Chik Karim, Taman Merdeka Jaya, Taman Krubong Jaya, Kampung Lanjut Manis, Kampung Tanah Merah, Kampung Sungai Badau dan Kampung Tampoi," katanya.