Polis tahan warga Indonesia jadi dalang bawa masuk PATI

Azhan Abdul Halim
Azhan Abdul Halim
A
A
A

BATU PAHAT - Polis daerah ini berjaya menahan seorang lelaki warga Indonesia kerana disyaki menjadi dalang dalam kegiatan membawa masuk dan keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Batu Pahat, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, suspek yang berumur 60-an itu ditahan di Jalan Syahbandar hasil siasatan yang dijalankan terhadap sindiket pemerdagangan orang yang pernah ditumpaskan sebelum ini.

"Kami percaya dengan tertangkapnya suspek polis telah dapat mematahkan satu sindiket penyeludupan migran yang aktif di daerah ini dan hasil siasatan lanjut mendapati suspek berperanan sebagai 'tekong laut' dalam sindiket berkenaan.

"Sebelum ini, sebanyak tujuh siri tangkapan telah dilakukan terhadap ahli kumpulan ini dan masing-masing telah dituduh di mahkamah dan kami akan terus membanteras kegiatan ink agar ketenteraman dan keselamatan negara terjamin," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Katanya, orang ramai terutamanya mereka yang tinggal di pesisiran pantai atau nelayan diingatkan tidak terlibat dengan sebarang bentuk kegiatan membawa masuk dan keluar pendatang asing serta tidak menyembunyikan maklumat berkaitan aktiviti jenayah ini.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan ini atau sebarang bentuk jenayah lain boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah di talian 07-4343999 atau balai polis berhampiran," katanya.

Artikel Berkaitan: