Khairy tidak berminat pelawaan Syed Saddiq

Khairy Jamaluddin - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi gambaran bahawa beliau tidak berminat dengan pelawaan Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menyertai Bersatu.

Katanya, beliau lebih selesa berada di posisi pembangkang ketika ini.

“Saya gembira di mana saya berada di mana sekarang,” katanya ringkas ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Syed Saddiq mempelawa secara terbuka agar Khairy menyertai Bersatu.

Pelawaan oleh Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan itu dibuat menerusi ciapan di Twitter miliknya.

Berkongsi laporan sebuah portal yang memetik respons Khairy berkaitan pelawaan Tun Dr Mahathir Mohamad itu, Syed Saddiq berkata, Ahli Parlimen Rembau itu patut mengikut jejak langkah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Mustapa Mohamed atau Tok Pa.

Khairy yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan sebelum ini berkata, pelawaan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Bersatu yang mahu semua parti politik Melayu bersatu perlu dilihat dari sudut positif dan bukannya melalui perspektif sempit.

Jumaat lalu, Dr Mahathir mempelawa semua parti politik Melayu termasuk UMNO menyertai Bersatu bagi menguatkan kuasa politik orang Melayu.

Dr Mahathir berkata, penyatuan itu penting kerana Melayu kini sudah terbahagi dan berpecah kepada enam parti.