Had umur belia di Johor kekal 15 hingga 40 tahun

Dr Sahruddin Jamal
Dr Sahruddin Jamal
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor mengambil keputusan mengekalkan had umur belia di negeri antara 15 tahun hingga 40 tahun bagi memastikan pelan perancangan yang telah dirangka khususnya melibatkan belia, tidak terbantut

Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, kerajaan negeri menghormati pandangan dan keputusan Kerajaan Persekutuan dalam membuat keputusan pelaksanaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 688) yang antara lain telah menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

"Namun begitu, Kerajaan Johor berpandangan untuk mengekalkan had umur belia antara 15 hingga 40 tahun," katanya, di sini hari ini.

Sahruddin berkata, Johor masih mentakrifkan definisi belia dari umur 15 hingga 40 tahun.

Katanya, pada umur 40 tahun, golongan itu merupakan kelompok yang strategik untuk membina karakter kepimpinan dalam berjuang dan mempertengahkan isu-isu semasa berbangkit.

"Ini seiring dengan semarak cita-cita melalui penonjolan idealisme, aktivisme dan intelektualisme yang merupakan ciri serta citra orang muda.

"Malah pada peringkat umur ini, literasi politik mereka juga stabil, selain merupakan masa yang sesuai untuk membentuk mereka menjadi pemimpin pelapis masa hadapan," katanya.

Beliau berkata, selain itu, kebanyakan pelbagai dana bantuan yang diperkenalkan kerajaan mengguna pakai had umur 18 hingga 40 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa ini juga golongan belia yang berusia 30 tahun hingga 40 tahun juga masih aktif menyertai pelbagai program, termasuk program-program aktiviti luar, termasuk aktiviti sukan.

"Maka Johor merasakan had umur belia 40 tahun dikekalkan adalah wajar," katanya.