UMNO banyak belajar dari Pas: Noraini

Noraini Ahmad
Noraini Ahmad
A
A
A

SEREMBAN - UMNO banyak belajar dari Pas tentang gerak kerja parti itu yang masih mampu bergerak meskipun sebagai pembangkang.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, walaupun parti itu berdepan pelbagai kekangan terutama soal kewangan, namun tidak pernah putus asa dalam perjuangan.

"Kita perlu pandai hadapi cabaran semasa dan hari ini kita banyak belajar dan ambil iktibar dari Pas sebagai parti pembangkang.

"Pas jadi pembangkang, tapi masih terus bersabar dan bekerja kuat, malah ada aset lagi. Itu yang kita boleh jadikan panduan," katanya ketika ditemui pada Persidangan UMNO Bahagian Seremban di Wisma Perhubungan UMNO Negeri Sembilan di sini semalam.

Menurutnya, sukarnya UMNO ketika ini disebabkan tiada sebarang peruntukan menyebabkan ada cawangan yang terpaksa membuat mesyuarat di dalam khemah dan keluar duit poket sendiri.

Meskipun begitu kata Noraini, mereka tidak pernah berganjak untuk terus berjuang seolah UMNO masih lagi sebagai kerajaan.

"Peruntukan itu kita memang tiada. Jadi sekarang kita bangkit dengan semangat sukarelawan dalam kalangan ahli. Kalau dulu kita guna katering, sekarang terpaksa buat secara 'potluck'.

"Kalau turun ke akar umbi, saya tengok wanita kita terus buat kerja tanpa disuruh, macam kita tidak kalah kerana sayangkan parti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, wanita UMNO kini mempunyai keahlian paling ramai iaitu seramai 1.2 juta orang dan dijangka bertambah.