Pemuda UMNO Terengganu tempelak Bersatu

TENGKU HAPHIZ TENGKU PUTERA dan DATUK RAZALI IDRIS
TENGKU HAPHIZ TENGKU PUTERA dan DATUK RAZALI IDRIS
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pemuda UMNO Terengganu menempelak Pengerusi Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris sambil menyifatkan tindakannya sebagai sikap sebenar seorang bekas ahli UMNO yang lari daripada perjuangan Melayu Islam.

Ia susulan tindakan Razali yang dilihat gopoh menyindir penyatuan ummah antara UMNO dan Pas di Terengganu.

Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, ‘taawun siyasi’ yang dibuat antara kedua-dua parti bukan dibuat berlandaskan keputusan individu tetapi ia berasaskan kehendak rakyat dan kepentingan negara.

“Kenyataan Razali tentang tiadanya kesepakatan tentang pembahagian kuasa di peringkat negeri dan bawahan menunjukkan Bersatu masih berada ditakuk lama memahami politik Terengganu.

“Proses perlaksanaan persefahaman politik ini pasti akan berlaku tidak lama lagi sebelum PRU15 setelah selesai perjanjian rasmi di peringkat pusat.

“Saya sangat percaya, Pas dan pihak kerajaan negeri akan menjadikan Terengganu sebagai contoh ‘taawun siyasi’ yang berjaya kerana presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan naib presiden, Dr Ahmad Samsuri Moktar juga Menteri Besar Terengganu adalah dalam kalangan Pas Terengganu,” katanya.

Tegasnya, Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sendiri telah menyatakan pendirian lebih awal sebelum ini bahawa UMNO Terengganu sedia membantu kerajaan negeri dalam membangunkan negeri, terutama dalam soal menambah pendapatan negeri dan kecekapan pengurusan.

Justeru katanya, Razali tidak perlu bimbang sokongan dan kesetiaan ahli UMNO kepada pucuk pimpinan parti kerana mereka akan bekerja lebih kuat di seluruh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen Terengganu bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) hangus deposit pada PRU15.

Artikel Berkaitan:

“Sokongan rakyat kepada UMNO sekarang sangat memberangsangkan apabila data menunjukkan sejak Februari tahun ini, UMNO Terengganu telah memperoleh penambahan ahli mencecah sehingga 1,000 orang dan 80 peratus adalah dalam kalangan anak muda.

“Sebab itu saya sarankan agar PH Terengganu lebih fokus kepada penyelesaian masalah rakyat di Terengganu seperti kos sara hidup peneroka kecil, nelayan dan graduan. Menyelami denyut nadi rakyat lebih berbaloi berbanding sentiasa berpolitik sepanjang masa untuk kepentingan sendiri,” katanya.