Silibus pengkomputeran, teknologi digital penting: Syed Saddiq

Syed Saddiq - Foto Bernamma
Syed Saddiq - Foto Bernamma
A
A
A

KUALA LUMPUR - Silibus pengkomputeran dan teknologi digital yang sedang dirangka kerajaan adalah penting dalam usaha menyediakan golongan muda yang berkemahiran pada masa depan, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata dalam melahirkan generasi masa depan yang berkemahiran untuk industri negara, ia harus bermula di peringkat awal.

"Sambil kita menempuh era digital dan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) pada masa depan, kita juga perlu pastikan wujud tenaga kerja mahir, ia perlu datang daripada umur yang muda, ” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Wild Digital SEA 2019 di sini, hari ini.

Pada 11 Jun lepas, media melaporkan kerajaan sedang merangka dasar baharu dengan mewujudkan silibus pengkomputeran dan teknologi digital di peringkat sekolah, kolej kemahiran serta vokasional.

Justeru, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dilaporkan berkata pelajar perlu diberi pendedahan awal mengenai perkembangan revolusi digital, sekali gus menyiapkan mereka berdepan dunia masa depan.

Sementara itu, Naib Presiden Bakat dan Keusahawan Digital Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Sumitra Nair berkata pihaknya menyambut baik usaha kerajaan dalam memperkenal silibus teknologi di peringkat sekolah.

"Melalui inisiatif ini, kerajaan dapat merangsang minat anak muda dalam bidang digital dan teknologi. Sekali gus kita dapat mencungkil bakat mereka dari peringkat sekolah," katanya kepada Bernama.

Persidangan dua hari itu dihadiri lebih 1,000 penggiat Internet, usahawan, pengasas, ketua eksekutif dan pelabur bagi mendapatkan pandangan mengenai teknologi dan kreativiti digital di masa depan. - Bernama

Artikel Berkaitan: