Beri perhatian adil kepada Irfan Wafiy

Che Alias Hamid. Gambar kanan: Laporan Sinar Harian.
Che Alias Hamid. Gambar kanan: Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan digesa untuk memberikan perhatian lebih adil kepada Irfan Wafiy Idham Wazir, 12, yang disahkan positif Myokymia dipercayai akibat terdedah dengan pencemaran kimia dari Sungai Kim Kim, Mac lalu.

Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid berkata, setakat ini belum ada mana-mana pihak yang tampil memberikan bantuan sewajarnya kepada murid tahun 6 itu melainkan Jabatan Kesihatan sahaja.

“Perhatian yang adil perlu diberikan kepada kes adik Irfan, selain kerajaan terus konsisten dalam menguruskan masalah pencemaran ini yang semakin kritikal supaya tidak terus mengambil masa terlalu lama.

“Saya berharap kerajaan dapat memberi pelbagai bantuan kepadanya dengan segera terutamanya daripada segi kaunseling dan sokongan bagi memulihkan semangatnya untuk meneruskan kehidupan memandangkan dia akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini,” katanya.

Che Alias juga mempersoalkan, sejauh mana kerajaan dan pihak berwajib bertindak dengan serius dengan isu pencemaran ini yang dilihat mengancam nyawa penduduk sekitar Pasir Gudang.

"Jangan sehingga ada nyawa yang diragut, baharu kerajaan ingin membuka mata," katanya

Dalam pada itu, beliau menyarankan kerajaan membuat pemeriksaan kesihatan susulan kepada semua murid sekolah yang terjejas dengan pencemaran udara di Pasir Gudang secara mega, termasuk guru dan kakitangan sekolah serta orang awam.

“Kerajaan juga perlu memastikan mana-mana pesakit termasuk murid sekolah dan orang awam di kawasan Pasir Gudang yang menghadapi penyakit kronik seperti penyakit saraf, jantung dan asma segera dipindahkan ke zon rawatan di luar kawasan Pasir Gudang.

“Penjagaan yang lebih rapi perlu dibuat sehingga kawasan itu betul-betul selamat dan bebas daripada sebarang gas beracun yang didakwa iaitu gas acrylonitrile, xylene, metana dan toluene yang boleh mengakibatkan mangsa berasa sakit kepala, loya, pengsan dan kesukaran bernafas,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, rakyat diminta menilai sendiri setiap tindakan yang diambil kerajaan dalam isu ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Irfan Wafiy positif Myokymia kerana toksik