Dua direman bantu siasatan kes rogol pelajar tingkatan dua

Kedua-dua suspek direman selama seminggu untuk membantu siasatan.
A
A

KUALA TERENGGANU - Dua lelaki termasuk seorang remaja bawah umur direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes rogol seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah di daerah ini.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret/Sesyen Kuala Terengganu, Roszita Md Saad bermula hari ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Menurut sumber, kedua-dua suspek yang berusia 16 dan 20 tahun itu ditangkap susulan satu laporan berhubung kes rogol remaja bawah umur yang diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira jam 3.50 petang semalam.

Mangsa sebelum itu dikatakan pengsan di sekolah dan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Hasil siasatan awal, mangsa mendakwa dia dirogol beberapa kali oleh teman lelakinya, iaitu suspek yang berusia 18 tahun di dua lokasi di daerah ini sejak awal tahun lalu.

Dia juga mendakwa dicabul oleh dua lelaki lain ketika berada di kedai milik teman lelakinya kira-kira jam 8 pagi pada Ahad lalu.

Susulan itu, polis telah menahan dua orang suspek kira-kira jam lapan malam tadi di sekitar Kuala Terengganu.