Leher hampir putus, kontraktor kabinet dapur maut

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KLANG - Seorang kontraktor kabinet dapur maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta Perodua Kancil dalam kejadian di Jalan Banting-Pandamaran, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, mangsa lelaki dikenali Ler Kian Hooi, 42, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan terbabit dalam laluan yang sama iaitu dari Banting ke Pandamaran.

"Sebaik tiba di persimpangan Taman Pendamar Indah, ketika kereta yang dipandu lelaki berusia 45 tahun hendak membelok ke kanan, mangsa penunggang motosikal yang berada di belakang gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar pintu tepi kanan kereta terbabit.

"Leher mangsa dipercayai terkena pada pintu bahagian tepi kereta hingga menyebabkan lehernya hampir putus, mangsa disahkan maut di tempat kejadian," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk dibedah siasat.

Katanya, keterangan pemandu kereta sudah diambil untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: