Bapa terkejut dua anaknya ditemui lemas

Orang ramai melihat mayat seorang kanak-kanak perempuan terapung di dalam sebuah parit di Kampung Parit Megat Aris, Bagan Tiang, Parit Buntar.
Orang ramai melihat mayat seorang kanak-kanak perempuan terapung di dalam sebuah parit di Kampung Parit Megat Aris, Bagan Tiang, Parit Buntar.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Seorang bapa hampir pitam setelah menyedari dua kanak-kanak perempuan lemas di Kampung Parit Megat Aris Bagan Tiang, di sini lewat petang semalam adalah merupakan dua anak perempuannya.

Bapa, Mohd Zaki Abdullah, 45, tidak menyangka berita penemuan mayat seorang kanak-kanak terapung di dalam parit berhampiran kediamannya disusuli mayat seorang lagi kanak-kanak pada sekitar jam 7 petang semalam adalah merupakan anak-anaknya iaitu Nor Anisa Najwa, 10, dan Nor Ayuni Najatul, 8.

Menurutnya, selepas selesai menjalani perubatan di sini, dia sendiri sempat pergi ke lokasi kejadian untuk melihat mayat seorang kanak-kanak terapung di dalam parit.

"Sewaktu di lokasi saya tertanya-tanya anak siapakah yang ditemukan penduduk namun tidak mengesyaki sebarang kejadian buruk.

"Sebaik pulang ke rumah, saya dapati Kak Chik (Nor Anisa) dan Ayuni (Nor Ayuni) yang merupakan anak keempat dan kelima saya tiada di rumah," katanya kepada media sewaktu ditemui di sini hari ini.

Mohd Zaki berkata, ketiadaan dua anak perempuannya itu terus menyebabkan hatinya rasa bimbang dan dia kembali semula ke lokasi kejadian untuk kepastian.

"Sebaik sahaja mengetahui dan melihat mayat kanak-kanak itu adalah mayat anak saya, saya tergamam, pilu dan hampir pitam," katanya.

Mohd Zaki berkata, berdasarkan penemuan dua pasang selipar ditinggalkan berhampiran parit di lokasi kejadian, penduduk berkerjasama membuat pencarian di dalam parit berhampiran lokasi penemuan Anisa sebelum menemukan seorang lagi anaknya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, beliau berasa sangat sebak dan tidak dapat mengulas lanjut kerana masih dalam keadaan sedih.

"Kedua-dua jenazah anak saya dikebumikan pagi esok di Tanah Perkuburan Masjid Bagan Tiang," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk enggan dikenali memberitahu kelibat dua beradik itu kelihatan selepas tamat sesi persekolahan Kelas Pengajian Fardu Ain di sini petang semalam.

Menurutnya, kedua kanak-kanak itu kelihatan sangat ceria apabila melambai-lambai penduduk di gerai berhampiran lokasi kejadian tanpa henti sambil menaiki basikal.

"Tidak sangka tingkah-laku ceria mereka petanda mereka akan pergi buat selamanya," katanya.

Sementara itu, pemangku Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintendan Sanusi Salleh sewaktu ditemui mengesahkan kejadian dan siasatan sedang dijalankan.