Rumah dua beradik hangus sekelip mata

Keadaan api yang sedang marak membakar kedua-dua buah rumah sehingga menyebabkan 15 penghuninya tinggal sehelai sepinggang. (Gambar kecil: Hakimah Aziz)
Keadaan api yang sedang marak membakar kedua-dua buah rumah sehingga menyebabkan 15 penghuninya tinggal sehelai sepinggang. (Gambar kecil: Hakimah Aziz)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dua keluarga beradik tinggal sehelai sepinggang selepas rumah kediaman mereka yang terletak bersebelahan musnah dalam kebakaran malam tadi di Kampung Losong Haji Long, di sini.

Kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu sekaligus menyebabkan 15 penghuninya hilang tempat berteduh.

Hakimah Aziz, 65, berkata, sebelum kejadian, dia sedang berbuka puasa bersama anak dan cucunya sebelum dikejutkan dengan jeritan jiran memaklumkan ada api.

"Masa tu saya tak berapa dengar sebab pintu rumah tertutup. Tetapi semasa suami masuk ke dalam bilik air, dia ternampak api sedang marak sebelum kami semua bergegas keluar ikut pintu belakang.

"Kejadian begitu pantas, kami memang tak sempat nak selamatkan harta benda. Api pula begitu cepat merebak sehingga ke rumah adik Khairuddin Aziz, 62, di sebelah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.48 malam dan tiba di lokasi kejadian kira-kira tujuh minit kemudian.

"Sebaik sampai di tempat kejadian kami dapati dua buah rumah itu terbakar dan api sedang marak. Dua keluarga yang menghuni kediaman berkenaan berjaya menyelamatkan diri.

"Pihak bomba menjalankan operasi mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah-rumah lain yang terdapat di situ dan api berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira jam 8.31 malam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata 25 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu bersama lima jentera dan dibantu Pasukan Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kota, di sini.

Rozizah berkata punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.