Bekas ADUN Peramu Jaya meninggal dunia

Wan Iqbal Afdza
Wan Iqbal Afdza
A
A
A

KUANTAN - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, Wan Iqbal Afdza Wan Abdul Hamid, 47 kembali ke rahmatullah kira-kira jam 3 pagi tadi ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUMMC), Indera Mahkota, di sini.

Allahyarham dimasukkan ke hospital berkenaan pada 17 Jun lalu akibat darah tinggi sebelum disahkan menghidap strok.

Menurut adiknya, Ardila Shazmily, Allahyarham mula tidak sedarkan diri pada 21 Jun lalu.

"Selepas beberapa hari dalam keadaan koma, abang sedar seketika dan kembali tidak sedarkan diri sehingga menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi," katanya.

Ardila berkata, jenazah abangnya diuruskan di Masjid Indera Mahkota sebelum dibawa pulang ke Kampung Belimbing, Pekan untuk dikebumikan.

"Insya-ALLAH jenazah akan dikebumikan selepas Zohor," katanya.

Allahyarham Wan Iqbal yang pernah menuntut di Univeraiti Yarmouk, Jordan merupakan ADUN BN (N21) Peramu Jaya.

Beliau menewaskan calon Pas, Wan Iqbal Hamdy Mohd Rusdy dengan majoriti 4,163 undi pada Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11).

Artikel Berkaitan:

Kehilangan pemimpin itu amat dirasai bukan hanya dalam kalangan keluarga malah beberapa pemimpin negeri yang pernah berkhidmat bersama Allahyarham sebelum ini termasuk Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Melalui Facebooknya, Wan Rosdy agak terkejut apabila mendapat khabar kematian Allahyarham.

Menurutnya, beliau pernah duduk bersebelahan arwah semasa sama-sama dalam Sidang DUN pada tahun 2004.