MT UMNO perlu bincang kedudukan Zahid: KJ

Khairy menyampaikan sumbangan kepada salah seorang perwakilan sewaktu Persidangan UMNO Bahagian Sungai Buloh yang berlangsung di Ibu Pejabat UMNO Selangor hari ini.
Khairy menyampaikan sumbangan kepada salah seorang perwakilan sewaktu Persidangan UMNO Bahagian Sungai Buloh yang berlangsung di Ibu Pejabat UMNO Selangor hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO perlu membincangkan status kedudukan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden parti tersebut.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya kurang bersetuju sekiranya perkara itu hanya diputuskan Ahmad Zahid sahaja berikutan sepanjang tempoh beliau bercuti, tugas berkenaan telah digalas MT dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, sekiranya Ahmad Zahid ingin kembali aktif dalam politik, perkara tersebut sewajarnya perlu dibawa dan dibincangkan dalam mesyuarat MT terlebih dahulu.

"Walaupun bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini menyatakan bahawa perkara ini tidak perlu dibincangkan dalam MT kerana mengikut perlembagaan Ahmad Zahid sememangnya presiden yang sah, itu betul.

"Namun, dari segi moral dan politik, perkara ini perlu dibincangkan kerana sepanjang Ahmad Zahid bercuti, MT dan timbalan presiden yang jalankan tugas beliau. Jadi tak adil jika MT tak ada pandangan yang boleh dipertimbangkan dalam perkara ini," katanya selepas Persidangan UMNO Bahagian Sungai Buloh yang berlangsung di Ibu Pejabat UMNO Selangor, hari ini.

Sebelum ini, Najib memaklumkan bahawa Ahmad Zahid boleh kembali menerajui semula parti walaupun tanpa persetujuan pihak lain termasuk MT.

Beliau berkata keputusan itu terpulang ke atas Ahmad Zahid sendiri sama ada mahu kembali meneruskan tugas sebagai kepimpinan utama parti tersebut.

Mengulas lanjut, Khairy memaklumkan bahawa di bawah kepimpinan Mohamad dan MT parti sebelum ini, UMNO telah terbukti berjaya memenangi tiga PRK yang berlangsung.

Artikel Berkaitan:

"Jadi untuk nyatakan ia hanya semata-mata keputusan Ahmad Zahid, saya kurang setuju dan MT parti perlu membincangkan perkara ini," katanya.

Dalam pada itu, Khairy yang juga merupakan bekas Ketua Pemuda UMNO berkata, parti perlu memberi tempat kepada golongan baharu berikutan ini merupakan masa yang sesuai untuk melakukan satu perubahan terhadap imej kepimpinan UMNO.

Tambah beliau, langkah ini adalah bagi membolehkan rakyat melihat UMNO melakukan perubahan terhadap saf kepimpinan utama parti itu.

"Dan (langkah) ini juga dapat memberi keterujaan kepada rakyat apabila berlakunya transformasi (di dalam parti)," katanya.