Sambut baik had umur undi diturunkan

Norhayati (tengah) melayan tetamu yang hadir pada majlis sambutan Aidilfitri Wanita PKR Cabang Marang.
Norhayati (tengah) melayan tetamu yang hadir pada majlis sambutan Aidilfitri Wanita PKR Cabang Marang.
A
A
A

MARANG - Wanita PKR Terengganu menyambut baik cadangan pimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mahu menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Ketua Wanita Cabang Marang, Norhayati Ibrahim berkata, remaja masa kini berfikiran matang dan ia selari dengan perkembangan politik bergerak pantas dalam era serba canggih dan moden ini.

"Kita menyokong hasrat Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang akan membawa usul had umur pengundi diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun dan ia adalah sangat wajar.

"Hasrat beliau mahu membawa usul pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen akan datang juga adalah tepat pada masanya," katanya pada majlis sambutan Aidilfitri PKR Cabang Marang, di Atas Tol hari ini.

Hadir sama, Ketua Wanita Cabang Kuala Nerus, Wan Khairani Wan Hussin dan Ketua Wanita Cabang Dungun, Amilia Alias serta penduduk sekitar.

Bagi Wan Khairani, beliau turut bersependapat dan menyifatkan remaja 18 tahun pada masa ini bijak dan matang serta dilihat mampu untuk membuat keputusan yang penting untuk negara.

Sementara itu, seorang remaja yang di temui, Noralina Latif, 20, pula menyifatkan cadangan menteri berkenaan dapat memberi pendedahan kepada mereka terhadap sistem demokrasi dan politik negara.

“Mungkin ramai tidak setuju, tetapi ini memberi peluang kepada remaja untuk menyumbang kepada negara dan mendedahkan mereka tentang makna demokrasi yang sebenar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, bagi pesara, Mat Nor Deraman, 62, cadangan menurunkan had umur mengundi perlu diteliti memandangkan remaja seusia itu belum matang dalam memilih kepimpinan negara.

“Tidak ramai remaja yang memahami dengan lebih mendalam tentang arena politik di Malaysia dan mereka cuma mendapat maklumat daripada media dan orang di sekeliling sahaja,” katanya.