Caj 20 sen tiada kesan, Pahang haram guna beg plastik: MB

Wan Rosdy (kanan) menggalakkan masyarakat membawa beg plastik sendiri ketika keluar membeli belah.
A
A

KUANTAN - Pahang mengharamkan penggunaan beg plastik, bekas polistirena dan straw minuman di semua premis perniagaan seluruh negeri ini pada setiap Sabtu dan Ahad mulai 1 Julai ini.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah tersebut sebagai merealisasikan hasrat menjadikan Pahang bebas pencemaran plastik dan ke arah mewujudkan peniaga serta pengguna yang lebih bertanggungjawab.

"Tiada beg plastik dan penyedut minuman akan disediakan peruncit tanpa mengira saiz perniagaan kepada pengguna bagi pembelian Sabtu dan Ahad.

"Pengguna boleh membawa beg dan penyedut minuman sendiri sebaik sahaja keluar rumah.

Wan Rosdy (tengah) menyempurnakan acara perasmian Kempen Hari Tanpa Beg Plastik di TMG Mall Tanjung Lumpur semalam.
Wan Rosdy (tengah) menyempurnakan acara perasmian Kempen Hari Tanpa Beg Plastik di TMG Mall Tanjung Lumpur semalam.

"Caj 20 sen terhadap beg plastik dikenakan kepada pengguna pada hari Sabtu sebelum ini tidak memberi kesan positif," katanya pada sidang akhbar sempena majlis pelancaran Kempen Hari Tanpa Beg Plastik di TMG Mall Tanjung Lumpur semalam.

Beliau berkata, buat masa sekarang tiada tindakan undang-undang akan dikenakan kepada peniaga mahupun pengguna sekiranya ingkar terhadap ketetapan tersebut.

"Kita lebih kepada mendidik dan mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat. Tetapi jika tidak berkesan, tindakan kompaun mungkin akan dikenakan.

"Tempoh kempen ini akan berlangsung berterusan dan diharamkan masyarakat akan memberi kerjasama," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia