Mewah, sporty, mempesona

Mercedes-Benz C 300 AMG Line Facelift jenama premium terus unggul dari segi teknologi, rekaan, prestasi

A
A
A

JENAMA kereta buatan Jerman, Mercedes Benz sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Baik dari segi kepuasan luaran mahupun dalaman, prestasi dan aspek keselamatan, sememangnya telah menjadi keutamaan dan kelebihan yang dimiliki jenama besar itu.

Berdasarkan rekod, C-Class merupakan model paling laris dan lama berada di pasaran.

Reka bentuk baharu nampaknya lebih aerodinamik, sporty, mewah termasuk pandangan sisinya yang pasti memberi kelainan dan kepuasan kepada para peminat kenderaan itu. Berpeluang memandu uji Mercedes-Benz C300 AMG Line Facelift dalam tempoh seminggu baru-baru ini dimanfaatkan sepenuhnya bagi penulis untuk menilai sejauh mana prestasinya.

C300 sebuah kereta sedan mewah yang dilengkapi teknologi terkini.
C300 sebuah kereta sedan mewah yang dilengkapi teknologi terkini.

Sebelum berbicara dengan lebih jauh mengenai prestasi C300 itu, penulis ingin mengupas dan berkongsi serba sedikit aspek rekaan luaran dan dalaman yang telah diberikan sedikit kelainan. Pada pandangan kasar, C300 secara jelas memperlihatkan reka bentuk sporty terutamanya pada bahagian bamper hadapan dan diperkemaskan lagi dengan gril radiator berlian. Memang tidak keterlaluan dikatakan, inovasi itu berjaya menyerlahkan lagi personaliti dan karakter sebuah sedan mewah dan moden.

Pada bahagian dalaman pula, penampilan C300 diserikan dengan kerusi padanan kulit warna hitam yang menonjolkan kualiti yang lebih ketara. Balutan kulit untuk roda stereng tiga jejari dengan elemen sporty dengan butang kawalan audio dan fungsi lain turut dipadankan pada stereng berkenaan.

DILENGKAPI dengan kemasan luaran dan dalaman AMG Line.
DILENGKAPI dengan kemasan luaran dan dalaman AMG Line.

Ruang kabinnya agak luas. Paparan kokpit digital sepenuhnya menerusi skrin 12.3 inci dengan tiga pilihan paparan meter sama ada Classic, Sport, dan Progressive menambahkan lagi sisi mewah kenderaan tersebut. Paparan sistem multimedia skrin 10.25 inci boleh dioperasi menerusi dua butang kawalan sentuh pada stereng. Sementara sistem infotainmen dilengkapkan ciri integrasi telefon pintar bersama sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Artikel Berkaitan:

Pemanduan hebat

Mengambil kira lokasi perjalanan menuju ke Johor Bharu, Johor dan kemudiannya berpatah balik ke Shah Alam, Selangor sememangnya tidak dirasai dengan pemanduan Mercedes-Benz C 300 AMG Line yang dilengkapi enjin 2.0L turbo twin-scroll yang mampu menghamburkan kuasa 258hp pada 370Nm itu.

Tork maksimum kekal pada 370Nm. Namun, boleh dicapai dari 1,800 rpm berbanding 1,300 rpm dahulu. Kemuncaknya pula pada 4,000 rpm. Prestasi juga bertambah baik; 0-100 kilometer (km/j) pada masa 5.9 saat manakala laju maksimum 250 km/j. Mercedes-Benz C300 yang dilengkapi kit badan AMG itu didatangkan dengan ciri Bantuan Titik Buta (BSA) yang memberi amaran mengenai kehadiran kenderaan di kiri atau di kanan menerusi paparan lampu merah pada cermin sisi dengan sensor bunyi yang banyak membantu pemanduan.

RUANG kabin yang luas dan kemas menampilkan ciri-ciri mewah.
RUANG kabin yang luas dan kemas menampilkan ciri-ciri mewah.

Jentera itu turut dipadankan dengan kemasan rim aloi 19 inci 5 Twin Spoke AMG yang menyerlahkan lagi ciri sportynya apabila dipandu.

Dalam pada itu, model berkenaan dilengkapi ciri Bantuan Kekal Lorong Aktif (Active-LKA) yang berfungsi memberi amaran kepada pemandu menerusi getaran stereng sekiranya kenderaan terpesong dari lorong pada kelajuan antara 60-200km/j. Bantuan tersebut cukup berguna sekiranya pemandu tiba-tiba terlelap dalam beberapa saat (microsleep) yang mungkin mengakibatkan berlaku kemalangan sebagaimana berlaku dalam beberapa kes sebelum ini.

Memandu kereta yang memiliki sistem keselamatan pintar dibantu oleh sistem komputer dengan bantuan sensor yang terletak pada cermin hadapan dan kamera kecil yang dipadankan di bahagian atas logo besar gril hadapan, banyak kelebihannya. Ini kerana penulis dapat merasai sendiri peranannya apabila kereta tersebut menekan brek secara automatik atau mengejut ketika mengundur keluar dari parkir dengan Bantuan Brek Aktif (Active Brake Assist).

LAMPU utama multibeam LED dengan Ultra Range.
LAMPU utama multibeam LED dengan Ultra Range.

Di samping itu, suspensi udara AIRMATIC merupakan salah satu ciri baharu pada Mercedes C 300 AMG Line. Ia bukan sahaja melaras tetapan suspensi setiap masa untuk memberi keselesaan maksima, malah boleh menstabilkan jentera dengan baik di kelajuan lebih tinggi.

Sistem AIRMATIC tersebut bekerja bersama fungsi Dynamic Select. Penulis merasakan ia cukup berkesan. Suspensi udara membolehkan C300 beralun selesa di atas jalan raya atau bertenaga dan lincah apabila diperlukan. Terus terang, ciri-ciri hebat yang dinyatakan meluaskan lagi aspek kepuasan pemanduan sebuah C-Class.

Responsif

C300 turut dipadankan dengan sistem transmisi automatik sembilan kelajuan 9G-TRONIC yang menukar gear secara responsif dan lancar. Pada masa sama, mampu menjimatkan tahap penggunaan bahan api selain mengurangkan tahap bunyi enjin. Lima mod pemanduan disediakan iaitu Comfort, Eco, Sport, Sport Plus dan Individual yang akan melaraskan semula respons enjin, transmisi dan stereng.

Berikut ialah keupayaan sebenar C300. Jika anda menukar mod berkenaan kepada Sport, karakter sebenar ‘aksi garang’ kereta terserlah menerusi tukaran gear yang pantas walaupun dengan hanya menekan sedikit sahaja pedal minyak. Penggunaan gear pada mod Sport dan Sport Plus cukup sesuai ketika kereta dipandu laju di lebuh raya. Pedal shift tukaran gear sembilan kelajuan pada stereng kereta juga boleh menjadi pilihan pemandu.

C 300 AMG Line merupakan versi pemasangan tempatan.
C 300 AMG Line merupakan versi pemasangan tempatan.

Dari aspek pengendalian, stereng kereta itu juga memberi respons yang cukup baik dan tidak terlalu ringan atau tidak terlalu berat.

Ciri lain yang ada pada sedan AMG berkenaan ialah bumbung suria panoramik, lampu suasana, karpet kaki AMG, sistem pendingin hawa dua-zon Thermotronic, kamera 360-darjah, Parking Pilot, COMAND Online, sistem bunyi Burmester dengan 13 pembesar suara, kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin dan sistem keselamatan pemanduan Pre-Safe.Secara keseluruhannya, Mercedes-Benz C300 dilihat sebuah kereta sedan mewah yang dilengkapi teknologi terkini, sistem keselamatan ketara dan sporty. Jadi, tidak hairanlah ia masih menjadi kereta pilihan bagi penggemar kenderaan jenama Jerman.

RUANG simpanan barang cukup luas sesuai untuk yang mereka yang berkeluarga.
RUANG simpanan barang cukup luas sesuai untuk yang mereka yang berkeluarga.

Dengan harga RM304,888 (harga atas jalan termasuk caj SST tanpa insurans) yang ditawarkan, C300 pasti berbaloi jika diukur dengan pakej lengkap yang ditawarkan.