Elak kena tahan, wanita ini sanggup panjat siling

A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang wanita warga Indonesia bertindak nekad memanjat dinding setinggi hampir lima meter untuk bersembunyi di atas siling sebuah rumah kedai di Permatang Tinggi di sini bagi mengelakkan diri daripada ditahan Jabatan Imigresen (Imigresen) Pulau Pinang dalam operasi semalam.

Bagaimanapun cubaan wanita yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri itu gagal apabila dia berjaya dikesan dan ditahan oleh penguatkuasa Imigresen Pulau Pinang dalam operasi bermula pukul 10 malam itu.

Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Muhamad Husni Mahmud berkata, dalam operasi itu, seorang lagi rakan wanita itu yang bertindak menyorok di dalam almari di rumah kedai dua tingkat tersebut juga berjaya ditahan.

"Dalam serbuan yang dijalankan di dua buah rumah kedai itu, penguatkuasa Imigresen terpaksa memecahkan pintu premis berkenaan kerana penghuni enggan membuka pintu malah mereka bertindak bersembunyi," katanya di sini hari ini.

Katanya pemeriksaan awal dijalankan mendapati dua buah rumah kedai itu tiada berpenghuni namun apabila pasukan operasi membuat pengeledahan, ada di antara pendatang tanpa izin ini bersembunyi di atas siling dan dalam almari bagi mengelak ditahan.

Muhamad Husni berkata, seramai 13 orang warganegara asing diperiksa di dua buah rumah kedai itu sebelum pihaknya menahan lima lelaki dan tujuh wanita kerana pelbagai kesalahan menurut Imigresen antaranya tiada dokumen perjalanan diri, tinggal lebih masa serta menyalahguna pas lawatan sosial.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada lima warga Indonesia termasuk seorang lelaki, tiga wanita dan seorang lelaki warga Myanmar serta tiga lelaki Bangladesh. Semua mereka berusia antara 28 dan 42 tahun," katanya.

Katanya mereka yang ditahan kebanyakan bekerja di kilang dan restoran sekitar kawasan berkenaan dan mereka menyewa bilik-bilik di rumah kedai dua tingkat berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata pihaknya turut mengarahkan dua lelaki berusia 50-an untuk hadir di JIM Pulau Pinang untuk direkodkan keterangan bagi membantu siasatan kerana menyewa premis itu kepada pendatang tanpa izin. - Bernama