Tingkat kesedaran pengendalian bahan-bahan petroleum: KPDNHEP

Chieng Jin (kiri) sewaktu Kempen Kesedaran Keselamatan Petroleum Peringkat Negeri Johor 2019 di Stesen Minyak Petron Tongkang Pechah, Batu Pahat.
Chieng Jin (kiri) sewaktu Kempen Kesedaran Keselamatan Petroleum Peringkat Negeri Johor 2019 di Stesen Minyak Petron Tongkang Pechah, Batu Pahat.
A
A
A

BATU PAHAT - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan meningkatkan lagi kesedaran pengguna terhadap kaedah pengendalian bahan-bahan petroleum yang betul dan selamat sama ada di stesen minyak, premis perniagaan dan kawasan kediaman.

Timbalan Menterinya, Chong Chieng Jin berkata, kempen pengendalian bahan-bahan petroleum tersebut seperti petrol, diesel dan gas memasak (LPG) secara selamat kerana masih ramai pengguna dan pengendali yang tidak peka dan cuai terhadap keselamatan diri serta orang di sekelilingnya.

"Antara perlakuan tidak selamat yang masih dikesan yang masih dikesan ialah penggunaan telefon bimbit serta tidak mematikan enjin kenderaan semasa mengisi minyak dan perlakuan ini amat bahaya kerana akan menjadi pemangkin berlakunya letupan dan kebakaran yang besar.

"Kita boleh mengambil iktibar dari beberapa kes kebakaran di stesen minyak yang berlaku pada tahun-tahun sebelum ini seperti kebakaran stesen gas asli kenderaan (NGV) di Mount Austin, Johor Bahru pada tahun 2016," katanya.

Beliau berkata pada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Kempen Kesedaran Keselamatan Petroleum Peringkat Negeri Johor 2019 di Stesen Minyak Petron Tongkang Pechah, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Hal Ehwal Korporat Petron, Zaini Harun; Pengarah Perdagangan Dalam Negeri KPDNHEP, Jafri Embok Taha dan Pengarah KPDNHEP Negeri Johor, Hairul Anuar Bohro.

Menurut Chieng Jin, aktiviti merokok di kawasan persekitaran minyak juga didapati masih berleluasa ketika mengisi minyak kerana menyalahi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, Peraturan 11(1)(o) dan pengguna boleh dikompaun sehingga RM5,000 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun.

"Larangan ini perlu dikuatkuasakan dengan lebih tegas oleh para pengusaha stesen minyak khususnya dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menjamin kesihatan serta keselamatan nyawa dan harta pengguna termasuk petugas stesen.

Artikel Berkaitan:

"Selain usaha-usaha yang dijalankan oleh KPDNHEP dan syarikat-syarikat minyak untuk mewujudkan kesedaran keselamatan di pihak pengguna, pihak pengusaha stesen minyak juga perlu sentiasa memastikan peralatan dan keadaan premis perniagaan mencapai standard keselamatan yang ditetapkan," katanya.

Menurutnya, pengusaha stesen minyak juga disaran agar sentiasa memberi penekanan terhadap aspek keselamatan di stesen minyak dengan menyediakan kamera litar tertutup (CCTV), kawalan keselamatan, sistem pencegahan kebakaran dan papan tanda amaran keselamatan yang lengkap, mudah dilihat serta jelas untuk panduan pelanggan.

Pada masa sama, penyertaan Petron Malaysia di dalam inisiatif yang diterajui oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah konsep 'United Against Crime' dan 'Go-To-Safety-Points' atau GSTP membolehkan pengusaha Petron memberi layanan yang lebih baik kepada pelanggan dan memainkan peranan yang aktif ke arah masyarakat yang lebih selamat.