Amaran Syed Saddiq kepada Ramasamy

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jangan sesekali ingat kamu boleh mendiamkan anak muda ini," demikian amaran Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kepada bekas Naib Pengerusi DAP, P.Ramasamy.

Tegasnya, beliau tidak akan meminta maaf kerana menyuarakan buah fikirannya apatah lagi memekakkan telinga terhadap suara rakyat.

"Saya tidak masuk politik untuk 'play safe'. Saya tidak masuk politik untuk jadi pak turut. Saya tidak masuk politik untuk membisukan mulut dan memekakkan telinga apabila rakyat sudah pun bersuara.

"Saya bersedia untuk diambil tindakan jika perbuatan saya salah. 'I will never apologise for speaking my mind'.

"Jadi YB, jangan sesekali ingat kamu boleh mendiamkan anak muda ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan tersebut bagi menjawab kenyataan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu yang membidas tuntutan Armada sebelum ini supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy meletakkan jawatan.

Menurut Ramasamy desakan itu menghina kebijaksanaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melantik Waytha Moorthy dan tindakan perlu diambil ke atas Syed Saddiq.

Difahamkan Syed Saddiq didakwa menjadi dalang dalam penyerahan memorandum bagi mendesak Waytha Moorthy meletak jawatan, bersama tiga lagi Exco Armada kepada Dr Mahathir.

Artikel Berkaitan:

Namun menurut laporan akhbar tempatan, Syed Saddiq menjadi pemudah cara penghantaran memorandum tersebut secara terus kepada Dr Mahathir.

Penyerahan memorandum itu antara desakan dan tuntutan selepas Waytha Moorthy dikatakan gagal meredakan ketegangan kaum dalam insiden kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya.

Sementara itu, Syed Saddiq yang juga Ketua Pemuda Harapan mencadangkan Ramasamy memberi cadangan sama ke atas pimpinan lain yang turut menyuarakan tuntutanserupa.

"Saya cadangkan YB Ramasamy juga ambil tindakan ke atas YB Dr Afif Bahardin (PKR) yang turut menyuarakan kebimbangan yang sama. Bukan beliau dari Pulau Pinang?

"Saya cadangkan YB Ramasamy juga ambil tindakan ke atas Pemuda Amanah kerana menghina kebijaksanaan Tun dan Jangan lupa 'sekolahkan' Datuk Kadir Jasin sekali," kata Menteri Belia dan Sukan itu.

Tambahnya, sebagai Ketua Armada, beliau bertanggungjawab untuk membenarkan rakan-rakannya bersuara dan tidak menyimpan perasaan mereka.