Satu lagi kes maut akibat minum samsu haram

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd pada sidang media hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd pada sidang media hari ini.
A
A
A

PASIR GUDANG - Polis Johor memaklumkan satu lagi kes maut di negeri ini akibat meminum samsu haram yang disyaki mengandungi bahan kimia beracun jenis methanol.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, selain itu terdapat satu lagi kes di mana mangsa koma dipercayai berikutan meminum samsu haram.

“Sudah ada lima kematian manakala dua lagi berada dalam keadaan cedera iaitu seorang tidak nampak (masalah penglihatan) dan seorang lagi berada dalam keadaan koma,” katanya pada sidang media Majlis Penghargaan Sempena Pertukaran Ketua Polis Johor anjuran Persatuan Polis Bantuan Kontinjen Johor dan Agensi Polis Bantuan Johor di EcoWorld Business Centre, Eco Tropics, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan kes samsu haram yang disyaki mengandungi bahan kimia beracun jenis methanol di Johor.

Mohd Khalil berkata, polis Johor bersama pihak hospital telah mewujudkan kolaborasi dan sedang mengambil tindakan susulan bagi pembanterasan.

“Dan saya fikir apabila kita sudah gerakkan kolaborasi ini, kita akan sertakan mungkin insya-ALLAH dengan kastam sekali. Kerana ia melibatkan penyeludupan samsu, arak dan sebagainya,” katanya.

Beliau turut mengesahkan tiada tangkapan baharu dibuat membabitkan kes tersebut di negeri ini.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kenyataan polis Johor bahawa empat kematian dilaporkan di beberapa daerah berasingan di Johor, akibat meminum samsu haram disyaki mengandungi bahan kimia beracun jenis methanol.

Artikel Berkaitan:

Turut dilaporkan juga satu kes melibatkan mangsa mempunyai masalah penglihatan selain tangkapan terhadap sembilan individu serta rampasan minuman keras dipercayai diseludup masuk tanpa membayar duti kastam.