Bakal pengantin, SPR berebut dewan?

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Gara-gara bertembung tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, 26 Januari depan dengan majlis perkahwinannya, seorang bakal pengantin 'berebut' dewan sekolah dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bakal pengantin yang telah menempah dewan di SMK Sultan Ahmad Shah, Cameron Highlands enam bulan lepas panik kerana perancangannya terganggu dek pengumuman tarikh PRK itu.

Melalui ruangan komen di Facebook SPR, pemilik akaun yang menggunakan nama Syazleen Anisa Misria berkata dia dan keluarga kelam kabut selepas mendapat tahu pertembungan tarikh dan lokasi tersebut.

"Assalamualaikum, saya ni nak berkahwin bertarikh 26 Januari 2019 di SMK Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata dan saya telah menempah dewan ini (tempat buang undi) dari enam bulan lepas.

"Segala tempahan dari A sampai Z semua sudah dibuat dan disebabkan pengumuman anda yang 'last minute' macam ini, habis saya dengan keluarga saya kelam kabut dan panik sekarang fikirkan masalah di mana saya nak buat majlis," katanya.

Menurutnya selain segala tempahan sudah dibuat, kad jemputan jugan sudah diedar.

"Tak mungkin untuk saya tukar tarikh majlis 'last minute' macam ini memandangkan bukan senang untuk menukar tarikh untuk jurugambar, jurukamera, juruandam, pengurus perkahwinan, katering, khemah dan sebagainya

"Kenapalah anda semua susahkan saya buat pengumuman 'last minute' macam ini. Kenapalah pilih tarikh sama dengan majlis saya? Sedih saya," luahnya.

Artikel Berkaitan:

Komen tersebut mendapat respons pengendali Facebook SPR dan difahamkan kedua pihak berbincang sebelum akhirnya, Syazleen memaklumkan mereka telah mencapai kata sepakat.

"Pihak SPR telah menghubungi saya dan menyatakan hasrat untuk memberi sumbangan atas kesulitan yang telah timbul.

"Majlis saya akan diubah tarikh seminggu lebih awal. Terima kasih SPR kerana membantu saya memudahkan urusan saya. Semoga pilihanraya kecil yang akan dijalankan akan berjalan dengan lancar. Doakan majlis saya nanti akan berjalan dengan lancar," tulisnya.

SPR hari ini mengumumkan perubahan lokasi Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi bagi PRK Cameron Highlands dari Bilik Gerakan Pejabat Daerah dan Tanah juga Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah kepada dewan SMK Sultan Ahmad Shah.

Menurut Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun perubahan itu selepas mengambil kira faktor keselesaan dan keselamatan.