Tanah wakaf boleh dimanfaatkan untuk kumpulan B40

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isu perumahan terutama bagi kumpulan berpendapatan rendah (B40) terus menjadi polemik memandangkan kos sara hidup yang tinggi serta harga rumah yang terus meningkat.

Keadaan ini membuatkan seakan-akan amat mustahil untuk mereka memiliki rumah sendiri sehinggakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin pernah mencadangkan agar tanah wakaf dibangunkan bagi projek perumahan khusus bagi B40.

Di bawah cadangan itu, kementerian berkenaan akan mengenalpasti tanah wakaf di seluruh negara sebagai satu aspek baharu pembangunan perumahan. Perkara ini turut menjadi fokus dalam Dasar Perumahan Mampu Milik Negara di bawah naungan Dasar Perumahan Negara 2018-2025.

Banyak maklum balas positif diterima mengenai cadangan itu. Antaranya daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fauziah Salleh yang melahirkan rasa sedih kerana setelah 60 tahun negara mencapai kemerdekaan, tanah wakaf masih belum mampu menyumbang kepada pembasmian miskin tegar dalam kalangan rakyat.

Meskipun sudah tiba masanya untuk menggunakan instrumen wakaf bagi membantu rakyat yang tidak mampu membeli rumah yang terdapat di pasaran kerana harga yang tinggi, terlebih dahulu terdapat banyak isu berkaitan dengan tanah wakaf yang perlu ditangani.

Banyak tanah wakaf tidak dimajukan

Berdasarkan statistik Yayasan Wakaf Malaysia dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang mendapati daripada kira-kira 30,000 hektar tanah wakaf di seluruh negara, hanya 13 peratus sahaja yang dimajukan! Selebihnya 87 peratus atau 26,100 hektar masih belum diusahakan sepenuhnya.

Dalam kata lain, kebanyakan tanah wakaf masih terbiar, belum digunakan sepenuhnya dan tidak diberikan perhatian yang sewajarnya, demikian menurut Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (Pertama) Prof Dr Ismail Omar yang juga pensyarah kanan di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Jabatan Pengurusan Harta Tanah, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, kajian perlu dibuat ke atas tanah wakaf yang terbiar dan tidak dimanfaatkan untuk kegunaan agar boleh memberikan hasil yang baik dipasaran.

"Ibarat rumah agam yang pintunya terkunci...memerlukan seorang pakar kunci untuk membuka pintu berkenaan. Dengan kepakaran ahli kunci berkenaan, kita dapat membuka seterusnya menggunakan dan menikmati kepentingan yang ada di dalamnya.

"Jadi untuk membuka nilai tanah wakaf yang beku, terpenjara dan terkurung, memerlukan pakar tanah wakaf yang mampu menyumbang kepakaran bagi memajukan tanah berkenaan dengan cara sebaiknya," katanya kepada Bernama ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau berkata penglibatan pakar tanah wakaf amat diperlukan bagi “mencairkan” nilai tanah wakaf yang beku. Ini termasuk sumbangan idea dan usaha pentadbir tanah wakaf, para ulama, pihak bank pembiaya dan ahli tanah yang lain bagi menyerlahkan potensi tanah wakaf.

Wujudkan keseragaman undang-undang wakaf

Ismail yang dilantik sebagai pakar wakaf oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 2018 berkata Kajian Pelan Induk Transformasi Harta Tanah Wakaf Negara oleh Yayasan Wakaf Malaysia pada 2016 membantu memberi panduan kepada Majlis Agama Islam Negeri dalam membangunkan tanah wakaf.

Hasil kajian itu mengenal pasti beberapa perkara yang menghalang pembangunan tanah wakaf iaitu pertama, undang-undang wakaf yang kurang seragam di seluruh negara.

Sebagai rekod, mengikut Jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan, tanah adalah hak urusan kerajaan negeri.

Menurut Ismail, hanya lima negeri sahaja yang mempunyai undang-undang wakaf secara eksklusif iaitu Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Selangor dan Terengganu manakala yang lain mempunyai undang-undang wakaf bersekali dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam yang berkaitan.

"Terbaharu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sedang menggubal rang undang-undang wakaf yang akan memperkasakan tadbir urus wakaf di Wilayah Persekutuan. Begitupun keseragaman undang-undang masih tidak wujud," kata Ismail yang turut menyarankan supaya Akta Wakaf Negara digubal bagi mewujudkan keseragaman.

Di bawah undang-undang wakaf berkenaan, klausa yang berkaitan untuk menghidupkan wakaf boleh digubal untuk dilaksanakan.

"Dalam erti kata lain, undang-undang wakaf bukan semata-mata mengenai urus tadbir malahan juga berkaitan dengan usaha menyuburkan wakaf termasuk kaedah berwakaf, memajukan tanah wakaf, menyelenggarakan dan semua perkara bagi menjaga menjamin aliran pulangan dan keselamatan nilai modal harta tanah wakaf berkenaan, “ jelasnya.

Kesedaran berwakaf yang masih rendah

Bercakap mengenai isu kedua, beliau berkata ia adalah mengenai tahap kesedaran wakaf yang masih rendah di negara ini.

Menurut Ismail, masih ramai pewakif yang berwakaf melibatkan keadaan fizikal harta tanah seperti topografi yang rendah dan sering dilanda banjir.

"Keadaan fizikal seperti ini menyebabkan tanah wakaf mempunyai nilai pasaran yang rendah. Kos pembangunan pula menjadi tinggi untuk menimbus tanah dan sebagainya.

"Begitu juga dengan saiz yang tidak ekonomik untuk tujuan berimpak besar," katanya.

Mengambil contoh di Melaka, hanya 20 peratus tanah wakaf di negeri itu mempunyai keluasan melebihi satu ekar atau 0.4 hektar.

Selain itu katanya hanya kira-kira dua peratus sahaja tanah wakaf di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang terletak di dalam atau berhampiran pusat pertumbuhan utama.

Antara contoh hartanah wakaf bernilai tinggi yang berjaya dimajukan ialah seperti Menara Imarah di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur yang dibina dengan kos RM140 juta pada 2012 yang sekarang nilainya hampir RM200 juta.

Hartanah ini dibina ditapak yang diwakafkan oleh Ahmad Dawjee Dadaboy, seorang pekerja Syarikat Hindia Timur kira-kira 100 tahun dahulu.

Contoh lain ialah wakaf perumahan oleh Setee Aishah di Pulau Pinang yang diwakafkan pada 1902 dan dimajukan secara usahasama antara Bank Islam Berhad, Majlis Agama Pulau Pinang dan Uda Holdings pada tahun 1988.

Kurang profesional

Sementara itu, isu ketiga yang ditemui dalam Kajian Pelan Induk Transformasi Harta Tanah Wakaf Negara merumuskan profesionalisme kakitangan yang mengendalikan urusan wakaf masih lagi rendah.

Dalam konteks ini, menurut Ismail ada kakitangan yang dibebani dengan pelbagai tugasan tanpa pengkhususan.

"Penubuhan perbadanan dan yayasan di agensi berkaitan wakaf boleh meleraikan kekusutan ini, selain diberikan latihan dari masa ke semasa kepada pegawai wakaf.

"UTHM dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kerajaan Negeri Johor ada menawarkan Sijil Profesional Wakaf secara separuh masa yang mampu meningkatkan penguasaan ilmu wakaf kepada orang ramai. Apabila kesedaran dan ilmu wakaf bertambah, kerja-kerja pentadbiran dan pengurusan wakaf menjadi lebih mudah," kata Ismail.

Menurut beliau semua pihak perlu berganding bahu mengenal pasti masalah bagi memajukan tanah wakaf agar tanah berkenaan dapat dimajukan termasuk untuk golongan yang memerlukan seperti perumahan untuk golongan B40.

Dengan cara ini nilai tanah wakaf yang “beku dan terpenjara dapat dicairkan” supaya akhirnya manfaat wakaf dapat disalurkan kepada semua rakyat yang memerlukan bagi membasmi kemiskinan tegar di negara ini, katanya. - Bernama