Siri konsert jelajah MPO ke utara Semenanjung Malaysia

Orkestra Filharmonik Petronas
Malaysian Philharmonic Orchestra.
Orkestra Filharmonik Petronas Malaysian Philharmonic Orchestra.
A
A
A

ORKESTRA Filharmonik Malaysia atau Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) akan membawa keunggulan muziknya keluar dari Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur untuk ke utara Semenanjung Malaysia.

Kali ini MPO bakal menemui pada penonton di Kedah, Perak dan Pulau Pinang menerusi sebuah siri konsert jelajah pada bulan Jun dan Julai ini.

Konsert istimewa ini akan dipimpin oleh Konduktor Residen MPO, Gerard Salonga dan akan menampilkan Duta Remaja MPO iaitu pemain piano terkenal, Tengku Irfan.

Siri konsert jelajah ini dijadualkan berlangsung di lokasi pertamanya iaitu di Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah pada 25 Jun 2019, jam 8.30 malam.

Diikuti persembahan di Auditorium PERAKfm, Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Perak, Ipoh pada 29 Jun, jam 8.30 malam. Manakala lokasi terakhir di Dewan Sri Pinang, George Town, Pulau Pinang pula pada 2 Julai jam 8.30 malam.

Kehebatan MPO bakal terserlah melalui persembahan seleksi lagu klasikal agung seperti Academic Festival Overture ciptaan Brahms, Piano Concerto No.1 (ciptaan Tchaikovsky) dan Overture to Candide (ciptaan Bernstein).

Tidak hanya itu, konsert ini juga bakal menampilkan karya tempatan yang popular seperti lagu malar segar ciptaan P Ramlee seperti Tunggu Sekejap, selain lagu Cindai (ciptaan Pak Ngah) dan lagu-lagu patriotik seperti Tanah Pusaka dan Putera Puteri. Kesemua lagu telah dipilih adalah khusus untuk memberi kepuasan simfoni yang maksimum kepada para penonton yang hadiri nanti.

Sementara itu, penampilan Tengku Irfan dalam siri konsert jelajah ini juga dilihat sebagai sesuatu yang cukup istimewa untuk penonton di utara. Sejak penampilan sulung di DFP pada tahun 2009, Tengku Irfan terus melakar kejayaan gemilang dalam bidang seni muzik di mana beliau memenangi pelbagai anugerah berprestij. Antaranya di Aspen Prokofiev Piano Concerto No.2 Competition, ASCAP Charlotte Bergen dan ASCAP Morton Gould Young Composer, selain membuat persembahan bersama orkestra di Singapore Symphony, São Paulo State Youth Orchestra dan Juilliard Orchestra.

Sebelum konsert jelajah ini, Tengku Irfan telah menyertai siri konsert jelajah MPO ke Ho Chi Minh dan Hanoi pada tahun 2013, serta Sabah dan Sarawak pada tahun lepas.

Dalam pada itu, MPO juga akan membuat persembahan khas iaitu konsert untuk murid-murid sekolah di setiap lokasi yang terlibat pada jam 3 petang.

Artikel Berkaitan:


Melalui konsert ini, MPO berharap dapat memberi inspirasi kepada para pelajar dan golongan muda melalui alunan muziknya. Tiket-tiket untuk MPO Tour North Malaysia 2019 ini boleh didapati dengan harga RM30, RM60 dan RM100.

Sementara untuk pelajar pula dengan harga RM20. Untuk penonton di Kedah, pembelian tiket boleh dibuat di DML Creative Music, Muzik Sistem Imagemart, Symphony Classic Music Centre, Wooi Music dan Dol Re Mi Music Centre.

Sementara di Perak, tiket boleh didapti di Freedom Music Studio dan Pulau Pinang pula menerusi Penang Philharmonic dan Bentley Music. Konsert siri jelajah ini mendapat kerjasama daripada penaja-penaja utama yang terdiri daripada BP Healthcare Group (BP Diagnostic Centre Sdn. Bhd.), BP Environmental Testing (BP Environmental Testing Sdn. Bhd.) dan Doctor2u (Ali Health Sdn. Bhd.). Jangan lepaskan peluang menyaksikan MPO secara langsung dalam siri konsert ini. Untuk perkembangan MPO, sila layari www.mpo.com.my atau facebook MPO.