Majlis Aidilfitri: Harley Davidson Pahang pilih rumah kampung

Khe Hing (kanan) bersama tetamu kenamaan menikmati hidangan pada majlis Aidilfitri Harley Davidson Pahang dalam suasana kampung.
Khe Hing (kanan) bersama tetamu kenamaan menikmati hidangan pada majlis Aidilfitri Harley Davidson Pahang dalam suasana kampung.
A
A
A

KUANTAN - Kelab Motosikal Harley Davidson Pahang membuat kelainan apabila memilih rumah kampung milik seorang penduduk Kampung Bugis, Beserah di sini sebagai lokasi majlis sambutan Aidilfitri mereka, malam semalam.

Majlis disertai kira-kira 50 pemilik motosikal eksklusif dari Pahang dan Terengganu itu julung-julung kali diadakan dalam suasana berkenaan.

Wakil penganjur, Kho Kee Hing berkata, majlis sambutan Aidilfitri dalam suasana kampung itu hasil cetusan idea Kapten Harley Davidson Pahang, Datuk Fairuzz Hussan Shaib.

Menurutnya, pemilihan suasana kampung ini bukan sahaja untuk mencari kelainan sebaliknya tujuan utama bagi meraikan majlis untuk mengeratkan silaturahim bersama penduduk.

"Kita memilih rumah milik keluarga Puan Ramlah Osman,69 bagi majlis ini dan ternyata walaupun sambutannya secara sederhana, ia tetap memberi kepuasan kepada kami semua," katanya.

Kee Hing berkata, selain bikers dari Harley Davidson Pahang, majlis ini turut disertai rakan penunggang dari Kemaman dan Paka, Terengganu.

Katanya, lebih bermakna apabila majlis ini turut mendapat kerjasama daripada Pengerusi Inisiatif Bandar Selamat Malaysia di bawah Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Seri Johny Ch'ng Ewe Gee.

Turut hadir memeriahkan majlis ini Pegawai Perhubungan Persatuan Polis Antarabangsa Singapura, Dr Matthew Yap.

Artikel Berkaitan:

"Atas kerjasama dua badan ini, program ini juga menjadi sebahagian daripada kempen menjayakan inisiatif bandar dan perkampungan selamat yang digerakkan pihak MCPF," katanya.

Sementara itu, Ramlah dan keluarga teruja dan tidak menyangka rumah pusaka tinggalan arwah orang tua mereka menjadi pilihan pihak Harley Davidson Pahang untuk mengadakan majlis itu.

Katanya, pemilihan rumah yang kini didiami kakaknya, Noriah Osman, 73, satu penghargaan dan penghormatan bagi mereka sekeluarga.

"Rumah ini biasa sahaja dan bukan tempat untuk penganjuran majlis tetapi bila ada pihak berhajat, kami sekeluarga tiada masalah untuk memberi kerjasama.

"Kami dan penduduk pun tumpang seronok bila dapat sama-sama raikan majlis ini dan teruja bila dapat lihat deretan motor besar berderet diletakkan di hadapan rumah," katanya.

Ramlah berkata, dia sedia untuk membuka halaman rumahnya kepada mana-mana pihak untuk menganjurkan sebarang majlis bagaimanapun bergantung kepada persetujuan ahli keluarga yang lain.