MK Land bersama kerajaan sedia rumah mampu milik

Kamarulzaman (kanan) bersama Norida (kiri) melihat Felina (tengah) menerangkan mengenai rumah contoh Emerald 6 pada majlis tersebut di sini, hari ini.
Kamarulzaman (kanan) bersama Norida (kiri) melihat Felina (tengah) menerangkan mengenai rumah contoh Emerald 6 pada majlis tersebut di sini, hari ini.
A
A
A

IPOH - MK Land Holdings Berhad (MK Land) komited dalam menyahut seruan kerajaan di bawah pimpinan PH untuk bersama-sama menyediakan rumah mampu milik selari dengan sasaran sebanyak satu juta unit dalam tempoh dua penggal.

Timbalan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MK Land, Kamarulzaman Abu Bakar berkata dalam membantu kerajaan merealisasikan impian tersebut, syarikat berkenaan telah bertemu dan berbincang dengan beberapa buah kerajaan negeri.

"Jadi kami memang berusaha dengan kerajaan-kerajaan negeri untuk buat rumah mampu milik ini dengan membantu mencapai sasaran kerajaan baharu kita membina satu juta rumah dalam tempoh dua penggal.

"Ini salah satu perkara yang kami lakukan sekarang, Alhamdulillah kami sudah bermula di Perak dan kami juga ada berjumpa dengan negeri-negeri lain untuk menambah jumlah rumah mampu milik ini," katanya selepas hadir pada Majlis Rumah Terbuka MK Land dan Pelancaran Rumah Teres Dua Tingkat Emerald 6 di Taman Meru Perdana 2, di sini, hari ini.

Turut hadir melancarkan projek rumah teres dua tingkat Emerald 6 tersebut Pengerusi Eksekutif MK Land Felina Mustapha Kamal dengan disaksikan Kamarulzaman dan Pengurus Besar Kanan, Norida Abu Kassim.

Menurut Kamarulzaman, setakat ini MK Land berjaya menyiapkan rumah sebanyak 47,927 unit dan daripada jumlah berkenaan sebanyak 31,071 unit merupakan rumah mampu milik yang mewakili 65 peratus daripada jumlah keseluruhan rumah dibina syarikat berkenaan.

“Jumlah ini tidak termasuk 2,000 unit rumah mampu milik yang bakal di bina di kawasan berhampiran Simpang Pulai dengan harga bermula RM70,000 hingga RM300,000 seunit bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Pembinaan rumah mampu milik di Simpang Pulai di bawah projek Rumah Perakku ini dilaksanakan menerusi perjanjian usahasama dengan anak syarikat kerajaan negeri Perak iaitu MB Incorporated (MB Inc) yang dijangka dilancarkan Disember tahun ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas mengenai projek rumah teres dua tingkat Emerald 6 di Taman Meru Perdana 2, Norida berkata projek tersebut melibatkan pembinaan sebanyak 139 unit rumah berkeluasan 1,570 kaki persegi dan dijangka siap pada 2021 dengan harga jualan bermula RM287,000.

“Produk baharu kami ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan Emerald 1 hingga 5 yang mendapat sambutan hangat daripada pembeli.

“Oleh itu, kami di MK Land yakin bahawa projek terbaharu ini juga akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pembeli dan kami menjangkakan ia akan habis dijual dalam tempoh masa yang singkat,” katanya.