Muktamar Pas jadi medan perlekeh orang?

Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad
Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Muktamar Pas yang berlangsung di Pahang baru-baru ini dilihat sekali lagi menjadi medan untuk memperlekehkan orang dari parti lain.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang kesal dengan situasi itu berkata, sikap menganggap diri dan partinya serba sempurna adalah budaya sebahagian ahli jawatankuasa tertentu Pas.

“Antara insiden yang berlaku, seorang wakil dari Pas Selangor menyindir penyampaian Mat Sabu (Mohamad Sabu) bertutur Bahasa Inggeris di satu mesyuarat di Singapura baru-baru ini. Sedangkan, Islam sendiri meminta umatnya merendah diri serta sentiasa muhasabah atas kekurangan kita di mata Allah.

“Lupakah mereka orang yang mereka sindir ini pernah dipilih oleh ahli parti Pas sendiri sebagai Timbalan Presiden Pas semasa zaman Almarhum Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi Mursyidul Am Pas? Beliau hari ini adalah Menteri Pertahanan, iaitu seorang menteri kanan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hanya kerana Mat Sabu beralih parti, tidak membuat beliau kurang berkebolehan dan bijak berfikir serta berhujah sedangkan dahulu ahli jawatankuasa Pas sering menjemput Mat Sabu di Terengganu kerana bakat hujah serta pidato beliau membantu kutipan wang yang banyak ketika ceramah.

“Kalau dahulu diangkat dan disanjung, adakah sindiran tersebut daripada rasa iri hati jawatan baru Mat Sabu hari ini? Lupakah mereka Mat Sabu sangat popular dan sering dijemput oleh ahli Pas sendiri dahulu atas sebab bakat berpidato beliau?

“Atas sebab apakah mereka menyindir Mat Sabu hari ini kalau tidak kerana iri hati atas rezeki yang dikurniakan Allah ke atasnya. Saya ingin bertanya ahli jawatankuasa Pas tersebut, bukankah penguasaan menjaga akhlak dari menyindir orang cara terbuka lebih penting daripada penguasaan Bahasa Inggeris?,” katanya.

Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, Mat Sabu seorang yang berterus terang dan ikhlas hingga pernah menyatakan beliau meninggalkan kursus pengajian di MARA tanpa menamatkan pengajian penuh, demi mengejar perjuangan sebagai aktivis negara.

Artikel Berkaitan:

“Adakah semua yang ke Mesir, Jordan dan negara Timur Tengah lain untuk menuntut ilmu bidang syariah, agama dan bahasa Arab tanpa menamatkan pengajian, mereka mengisytiharkan status kelulusan akademik sebenar mereka hari ini? Ada yang tidak menamatkan pengajian mereka di Timur Tengah tidak mengisytiharkan status sebenar tetapi berkhidmat di dalam masyarakat seolah-olah mereka mempunyai kelulusan ijazah penuh.

“Saya ingin ingatkan wakil Selangor berkenaan, itulah bezanya Mat Sabu dengan mereka-mereka ini. Sebagai ahli parti yang mendakwa menjunjung perjuangan serta ajaran Islam, beliau perlu tunjuk akhlak dan contoh yang lebih baik yang terkandung dalam al-Quran serta ajaran Islam,” katanya.