Laporan forensik Adib akan didedah

Muhyiddin (tengah) bermesra bersama penduduk Parlimen Pagoh sempena Program Jom Ke Sekolah 2019 Parlimen Pagoh kepada 550 penerima di Kompleks Sukan Pagoh, Muar.
Muhyiddin (tengah) bermesra bersama penduduk Parlimen Pagoh sempena Program Jom Ke Sekolah 2019 Parlimen Pagoh kepada 550 penerima di Kompleks Sukan Pagoh, Muar.
A
A
A

PAGOH - Laporan siasatan polis berkaitan insiden anggota bomba yang maut selepas cedera dibelasah dalam rusuhan kuil baru-baru ini akan didedahkan kepada umum sekiranya perlu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keperluan untuk mendedahkan laporan itu bagaimanapun bergantung kepada keadaan sekiranya asas terbabit diperlukan sebelum kes itu dimuktamadkan.

“Ya, kita dah dapat laporan itu setelah Timbalan Ketua Polis Negara memberikan taklimat kepada saya. Apa pun saya serah pada pihak polis dan doktor yang terlibat untuk berikan laporan lengkap.

“Ia bergantung kepada keadaan, kalau ada keperluan untuk menyokong apa sahaja keputusan yang telah dibuat oleh pihak polis, maka kita akan gunakan laporan forensik itu sebagai satu daripada asas sebelum kita memuktamadkan kes ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Program Jom Ke Sekolah 2019 Parlimen Pagoh kepada 550 penerima di Kompleks Sukan Pagoh, di sini, sebentar tadi.

Hadir sama, isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman dan Exco Kesihatan, Pertanian dan Alam Sekitar Johor, Dr Sahruddin Jamal.

Ujar Muhyiddin, ketika ini, laporan terbabit sedang diperkemas sebelum satu laporan lengkap akan diserahkan kepadanya dalam tempoh beberapa hari lagi.

Terdahulu, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah akibat dipukul sekumpulan perusuh dalam kejadian rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

Allahyarham meninggal dunia pada jam 9.41 Isnin malam setelah tiga minggu bertarung nyawa di unit Rawatan Rapi (ICU) Institut Jantung Negara (IJN).

Terbaharu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, polis akan menyoal semula empat suspek yang ditahan reman sebelum ini kerana menyerang mangsa.

Beliau berkata, kesemua suspek akan dipanggil untuk memberi keterangan selepas kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh.