Kabinet bayangan: Pas tak bermimpi di siang hari, kata Hadi

Abdul Hadi Awang - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
Abdul Hadi Awang - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUANTAN – Pas tidak ingin bermimpi di siang hari berkenaan infografik tular Kabinet bayangan Pas-UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, infografik Kabinet bayangan Pas-UMNO yang tular itu bukanlah kerja yang dilakukan oleh Pas.

“Berkenaan imej viral Kabinet bayangan itu kami (Pas) tak terlibat dan tak berminat pun.

“Pas tak bermimpi di siang hari,” katanya pada sidang media selepas Muktamar Tahunan Pas ke-65, di sini hari ini.

Infografik Kabinet bayangan gabungan pemimpin BN dan Pas pasca PRU15) mula tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp sejak semalam.

Malah, ia turut mengundang cakap-cakap politik dalam kalangan netizen meskipun kesahihannya boleh diragui.

Daripada infografik berkenaan, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menjadi Perdana Menteri manakala, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Penasihat Kerajaan serta dijangka dianugerahkan 'Tun' pada waktu itu.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, 26 pemimpin BN dan Pas turut dilantik sebagai anggota Kabinet yang rata-ratanya terdiri daripada muka-muka lama.