Kekalahan PRU14 bukan pengakhiran buat UMNO

Reezal Merican bersama sebahagian perwakilan pada Mesyuarat Wanita, Pemuda dan Umno di Dewan Utama Pahang Skills hari ini.
A
A

KUANTAN - Kekalahan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, bukanlah penamat parti yang memperjuangkan Melayu dan Islam untuk berjuang tetapi sebagai permulaan baharu lebih kukuh untuk parti itu bangkit.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, dirinya yakin UMNO akan bangkit semula dan menjadi parti yang memperjuangkan orang Melayu dan Islam kerana itulah asas penubuhannya sejak dahulu.

"UMNO selalu disebutkan sebuah parti keramat kerana asal penubuhan UMNO itu datang dari keringat dan hasil perjuangan yang diiringi oleh air mata dan doa pejuang pejuang lalu.

"Perjuangan UMNO inilah yang mengeluarkan umat manusia dari belenggu penjajahan kemiskinan dan meletakkan umat Melayu dan agama Islam jauh ke arah lebih baik dan mulia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda, dan Umno di Dewan Utama Pahang Skills di sini hari ini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mustaffa Kamal Abdul Hamid serta beberapa ahli daripada Dewan Muslimat Pas Indera Mahkota.

Menurutnya, walaupun terdapat pemimpin UMNO yang keluar parti namun tiada ahlinya keluar parti membuktikan kesetiaan UMNO dalam kalangan ahli masih kuat

"Kalau kita lihat apabila Mustapa Mohamed seorang pemimpin yang begitu terkenal dan kuat ketika beliau dalam UMNO tapi bila beliau keluar tiada seorang ahlinya keluar," katanya.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, ahli UMNO perlu sentiasa mengamalkan konsep bersabar dan tidak putus asa dalam perjuangan demi memastikan jati diri setiap ahli menjadi kukuh demi mencapai kemenangan pada PRU15.

"Kita perlu sabar dalam perjuangan kerana sabar ini kita akan dapat kemanisan di penghujungnya dan kita kena pasak dalam jiwa dan hati supaya kita boleh bangkit menjadi orang yang kuat atas nama kita nak julang Islam dan kalimah Allah.

"Sebab ahli UMNO ini tetap kuat, kental serta teguh kerana kita nak pastikan bahawa perjuangan yang datang daripada hasil dan juga asas yang kuat," katanya.

Sementara itu, beliau turut menyifatkan kerjasama dua parti itu sebagai luar biasa yang juga takdir ditetapkan Allah.

"Walaupun sebelum ini kita melalui perjalanan yang berbeza antara UMNO dan Pas dan melalui ujian berkali-kali namun Allah takdirkan kami untuk berjuang bersama.

"Jika bukan ketentuan Allah kita pasti tidak akan dapat bekerjasama dan melalui kerjasama itu kita akhirnya buat pertama kali bekerjasama dengan Pas memenangi PRK di Cameron Highlands," katanya.