Mayat remaja ditemukan terapung di Tanjung Dahan

Mayat seorang remaja lelaki yang ditemui terapung di perairan Tanjung Dahan, Kuala Linggi, Alor Gajah.
Mayat seorang remaja lelaki yang ditemui terapung di perairan Tanjung Dahan, Kuala Linggi, Alor Gajah.
A
A
A

ALOR GAJAH - Kehilangan seorang remaja lelaki yang tidak pulang ke rumah sejak kelmarin, akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemukan terapung di perairan Tanjung Dahan, di sini, semalam.

Mayat Khairul Azhar Aziz, 19, ditemui nelayan sebelum sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Melaka dan Negeri Sembilan membantu membawanya ke jeti berhampiran dari kedudukan 0.4 Batu Nautika Tanjung Dahan pada jam 11.35 pagi.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Amran Daud berkata, mayat mangsa berjaya dibawa ke Jeti Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kuala Linggi pada jam 12.12 tengah hari.

"Kita terima maklumat berhubung penemuan mayat oleh nelayan. Beberapa minit selepas itu satu laporan kehilangan seorang remaja telah diterima dan kami percaya laporan tersebut mempunyai kaitan dengan penemuan mayat ini.

"Pengecaman dilakukan oleh ibu mangsa dan mengesahkan bahawa mayat tersebut merupakan anak bongsunya yang hilang sejak keluar rumah kira-kira pukul 10 pagi kelmarin," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Abd Rahman mengesahkan kejadian itu dan kes diklafikasikan sebagai mati mengejut.

"Difahamkan mangsa yang mempunyai sakit sawan pergi menjala seorang diri dan ahli keluarga mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangannya sebelum menemui mayat mangsa oleh nelayan," katanya.

Artikel Berkaitan: