Pas-UMNO: Tidak ditentukan siapa ayah, siapa ibu

Dr Ahmad Samsuri pada sidang media hari ini.
Dr Ahmad Samsuri pada sidang media hari ini.
A
A
A

KUANTAN – Pas akan menangani pelabagai pandangan dalam kalangan ahlinya berkenaan persoalan siapa yang bakal mengetuai gagasan kerjasama antara Pas dan UMNO.

Naib Presiden Pas, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ta'awun dengan UMNO tidak membincangkan siapa yang akan menjadi ‘ayah’ dalam sebuah rumah.

“Kita kena faham, dalam sebuah rumah ada seorang ayah sahaja dan pandangan anak-anak dalam rumah itu pelbagai, sehinggakan mereka memilih sama ada ayah atau ibu.

"Dalam situasi kerjasama Pas-UMNO ini kita tidak menentukan siapa ayah, siapa ibu kerana tidak dibincangkan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, terdapat 1,200 perwakilan dalam muktamar, dan agak mustahil untuk menerima semua pandangan yang diketengahkan.

"Cuma, suara-suara itu sekadar menambah rencam bagaimana kita berfikir dan tidak menghalang untuk menggagalkan perancangan yang dibuat oleh kepimpinan sama ada daripada Pas ataupun UMNO," katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, ada pemikiran ahli-ahli yang di luar kotak namun tidak begitu penting atau relevan, tetapi akan menjadi sempadan dalam ta'awun Pas-UMNO.

"Dalam rumah Pas, masih Pas 'ayahnya'. Masing-masing mahu menjadi ayah dan ibu, jadi susah untuk kerjasama ini berada atas satu nama. Tetapi, kerjasama strategik (yang terjalin) mempunyai objektif penting daripada satu nama.

Artikel Berkaitan:

"Apa jua yang dibahaskan (mengenai ta'awun) bukan dasar kepada sesebuah kerajaan selagi tidak dibawa menjadi satu dasar dan ia masih pandangan.

"Cuma, perlu ambil berat. Semua parti menyedari untuk menjadi pemenang di Putrajaya. Itu (perbahasan) akan diambil sebagai ‘key point’ bagi memenangi pilihan raya umum akan datang, kerjasama ini akan terus diteroka," katanya.

Pagi tadi, Perwakilan Dewan Pemuda Pas, Faizzuddin Mohd Zai dalam perbahasannya membangkitkan isu siapa yang mengetuai kerjasama Pas dan UMNO walaupun ia sudah dijawab Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda Pas persoal siapa pimpin kerjasama jika 'duduk' sebelah UMNO

Menurutnya,walaupun pimpinan Pas memberikan panduan jelas mengenainya namun masih ada yang ingin tahu siapa akan memimpin kerjasama itu.

"Kami anak muda ingin bertanya, hakikatnya apabila kita duduk bersebelahan dengan UMNO, siapakah yang memimpin kebangkitan rakyat ini? Kita mesti bermuhasabah, pimpinan memberikan hala tuju dan visi yang jelas.

"Tetapi ketakutan yang mesti diambil perhatian oleh kita semua ialah apabila kita duduk bersebelahan mereka, siapakah sebenarnya yang memimpin?," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden di Muktamar Tahunan Pas ke-65 di sini hari ini.