Exco Negeri Sembilan sambut baik cuti bersalin swasta 90 hari

Nicole Tan Lee Koon
Nicole Tan Lee Koon
A
A
A

SEREMBAN - Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon menyambut baik cadangan kerajaan meminda Akta Kerja 1955 bagi membolehkan pekerja wanita di sektor swasta menikmati cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari.

Menurutnya, cadangan itu selaras dengan konsep 'work life balance' atau keseimbangan kerja dan kehidupan setiap masyarakat.

"Sebenarnya lebih baik setiap ibu bapa dapat besarkan sendiri anak yang baru lahir berbanding ditinggalkan di pusat jagaan atau diserahkan kepada pembantu rumah untuk diuruskan.

"Tapi kita memahami ramai tidak ada pilihan kerana bekerja demi kelangsungan hidup. Jadi pindaan akta itu bagi saya amat baik," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau juga berpandangan adalah lebih baik jika suami diberi opsyen untuk kongsi cuti bersalin dengan isteri supaya sama-sama dapat mainkan peranan.

Katanya, ini kerana ada isteri yang mempunyai pendapatan lebih tinggi dari suami dan menjadi tunjang utama keluarga.

"Sudah tentu keperluan isteri bekerja lagi penting. Ini kerana saya dapati ada setengah majikan yang ambil keputusan berhentikan pekerja wanita selepas cuti bersalin. Alasannya kerana tidak efektif.

"Ia tidak sepatutnya berlaku. Untuk atasi masalah ini saya rasa isteri mungkin boleh ambil 45 hari cuti dan kemudian disambung suami 45 hari," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, kementeriannya akan meminda Akta Kerja 1955 bagi membolehkan pekerja wanita di sektor swasta menikmati cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari.

Katanya, pihaknya akan meminda akta sama bagi membolehkan golongan bapa turut diberi cuti ‘paterniti’ (cuti isteri bersalin) selama tiga hari.