Kurang nutrisi tingkat risiko kematian orang asli

Boon Chye (duduk, tengah) bersama warga SK Pos Raya dan penduduk kampung bergambar bersama-sama pada majlis tersebut, di sini hari ini.
Boon Chye (duduk, tengah) bersama warga SK Pos Raya dan penduduk kampung bergambar bersama-sama pada majlis tersebut, di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Kekurangan nutrisi makanan meningkatkan risiko kematian akibat demam campak dalam kalangan orang asli kaum Bateq khususnya kanak-kanak di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, biarpun ia bukan punca utama kematian tersebut, usaha itu sedang dipertingkatkan bagi memastikan kaum orang asli mendapat keperluan nutrisi sepatutnya.

Menurutnya, sehubungan itu, Kementerian Kesihatan bersama Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bekerjasama untuk tujuan tersebut.

"Bagi pihak Kementerian Kesihatan, ada dua masalah yang kita kenal pasti. Pertama adalah kerana tahap imunisasi yang agak rendah mengakibatkan penularan jangkitan demam campak. Jadi kita perlu meningkatkan tahap imunisasi untuk campak.

"Di Kuala Koh kadar kematian lebih tinggi daripada jangkitan biasa kerana sebahagian daripadanya disebabkan keadaan nutrisi yang membimbangkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Akademik Perkongsian Amalan Terbaik dan Jamuan Hari Raya di Sekolah Kebangsaan Pos Raya, Kampung Kepayang, di sini hari ini.

Menurutnya, bagi individu yang sihat, demam campak boleh pulih dalam tempoh seminggu tetapi sebaliknya berlaku kepada individu yang kekurangan nutrisi menyebabkan mereka mengalami kompikasi.

Dalam perkembangan berkaitan, Boon Chye berkata, Kementerian Kesihatan sedang aktif memberikan imunisasi kepada seluruh penduduk di Kuala Koh.

"Kita menyeru kepada seluruh ibu bapa supaya mereka mengambil perhatian serius berkenaan masalah ini.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan mempelbagaikan usaha memastikan orang asli mendapatkan rawatan dan pemeriksaan kesihatan dengan menyediakan klinik-klinik bergerak termasuk menggunakan helikopter, bot dan pacuan empat roda," katanya

Sinar Harian pada Syawal ketiga yang lalu membongkar kisah orang asli suku kaum Bateq Kuala Koh, Gua Musang meninggal dunia seorang demi seorang sehingga mencecah angka 15 kematian termasuk terbaharu membabitkan kanak-kanak lelaki Nasri Rosli, 3, pada 16 Jun lalu.