Dera: Pusat jagaan warga emas akan ditutup: Exco

 Gambar kecil, Nicole Tan Lee Koon.
Gambar kecil, Nicole Tan Lee Koon.
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan akan menutup pusat jagaan warga emas yang didakwa melakukan penderaan kepada penghuninya seperti ditularkan di media sosial, Isnin lalu.

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, tindakan itu akan diambil mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506).

"Siasatan terhadap pusat jagaan warga emas itu dilakukan JKM pada 17 Jun lepas.

"Hasil siasatan terhadap pusat jagaan, pihak JKM negeri akan mengambil tindakan penguatkuasaan penutupan pusat jagaan sehingga suatu tempoh sebagaimana yang difikirkan perlu atau notis selanjutnya di bawah Akta 506," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, JKM turut menafikan siasatan dilakukan jabatan itu tidak telus seperti yang didakwa seorang waris hari ini.

"JKM sudah ambil tindakan dan siasatan pada 18 November 2018 mengikut peraturan Pusat Jagaan 1993. Malah maklum balas setiap persoalan atau dakwaan secara bertulis telah diberikan kepada pengadu," katanya.

Hari ini, seorang waris kepada penghuni pusat jagaan berkenaan dikenali sebagai Noni, 34, mahu JKM menyiasat perkara berkenaan dengan telus selepas mendakwa kecewa dengan jabatan itu yang menafikan aduan mengenai neneknya berusia 90 tahun didakwa diabaikan pusat jagaan terbabit.

Pada 17 Jun lepas, tular di laman sosial Facebook dakwaan warga emas di sebuah pusat jagaan warga emas di Seremban 3, di sini, didera seorang penyelia sejak tiga tahun lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan: