Lelaki parah digilis kereta

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pekerja pusat servis kenderaan cedera parah akibat digilis ketika cuba menghalang seorang pencuri melarikan sebuah kereta milik pelanggan pusat servis berkenaan Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner, Baharudin Mat Taib berkata, dalam kejadian pada kira-kira 7 pagi itu, dua suspek menaiki sebuah kenderaan telah ke pusat servis kenderaan berkenaan di Glenmarie Seksyen U1 di sini sebelum seorang daripada mereka masuk ke dalam pusat servis berkenaan dan mencuri anak kunci sebuah kereta pelanggan.

"Pekerja di pusat servis itu tidak menyedari perkara berkenaan dan mereka hanya menyedarinya selepas melihat sebuah kereta jenis Volkswagen Jetta bergerak.

"Pekerja pusat servis berkenaan telah mengambil tindakan cuba menghalang kereta itu dari keluar dari kawasan pusat berkenaan tetapi semasa cuba menahan kereta itu seorang pekerja bernama V. Kannan berusia lingkungan 30-an telah digilis oleh kereta yang dibawa oleh suspek," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Baharudin, kereta berkenaan bagaimanapun berjaya ditahan berdekatan laluan keluar bengkel dan suspek lelaki berusia 37 tahun berjaya ditangkap oleh pekerja pusat servis berkenaan yang kemudian bertindak menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut dan pekerja yang cedera telah dikejarkan ke Hospital Shah Alam.

"Siasatan lanjut polis terhadap suspek mendapati beliau mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah dan mencuri, suspek turut didapati positif dadah jenis syabu," katanya.

Kata Baharudin lagi, pihaknya kini sedang giat mengesan seorang rakan suspek bernama Darma Suria Risman Salleh, 37 tahun yang beralamat di Pangsapuri Sri Perantau Pelabuhan Klang dekat sini yang berjaya melarikan diri semasa kejadian berkenaan.

Sehubungan itu, Baharudin berkata, pihak polis mohon kerjasama orang ramai jika ada sebarang maklumat berkaitan saspek yang masih bebas untuk berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Nurul Al Shakinaqaiyum Alladin di talian 010-2480065 atau hubungi balai polis berhampiran.

Artikel Berkaitan:

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya. - Bernama