Dua lagi orang asli dijangkiti campak

Dr Zaini Hussin
Dr Zaini Hussin
A
A
A

KOTA BHARU - Dua termasuk seorang kanak-kanak perempuan orang asli suku kaum Bateq Kuala Koh, Gua Musang menjadi mangsa terbaru dijangkiti wabak measles atau demam campak semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata, kakak-kanak 11 tahun dan wanita berusia 26 tahun itu dimasukkan ke Hospital Kuala Krai (HKK) kerana menunjukkan simptom sama seperti pesakit lain.

“Dua mangsa terbaru itu dikesan pada hari ini sebelum dibawa ke HKK untuk rawatan lanjut.

“Dengan pertambahan dua mangsa sehingga jam 12 tengah malam pada 19 Jun 2019 itu menjadikan jumlah kes meningkat daripada 113 kepada 115 kes semalam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Zaini berkata kes yang masih berada di dalam wad berjumlah 47 kes termasuk dua daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKK.

“Kes di Rumah Inap Komuniti Asli (RIKA) pula sebanyak 12 orang, di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani seramai 14 orang manakala satu kes di Sekolah Kebangsaan Pasir Linggi,” katanya.

Sinar Harian pada Syawal ketiga yang lalu membongkar kisah orang asli suku kaum Bateq Kuala Koh, Gua Musang meninggal dunia seorang demi seorang sehingga mencecah angka 15 kematian termasuk terbaru membabitkan kanak-kanak lelaki Nasri Rosli, 3, pada 16 Jun lalu.

Isnin lalu, Kementerian Kesihatan mengesahkan wabak measles atau demam campak melanda komuniti orang asli suku Bateq di Kuala Koh, Gua Musang.

Artikel Berkaitan:

Ia berdasarkan keputusan ujian makmal yang mengesahkan 37 daripada 112 kes membabitkan komuniti Orang Asli itu disebabkan wabak berkenaan termasuk tiga kematian disahkan setakat ini.