AMK tolak keputusan Lembaga Disiplin PKR

Nazlee membuat sidang media selepas mesyuarat tergempar di Rumah Pemuda PKR malam ini.
Nazlee membuat sidang media selepas mesyuarat tergempar di Rumah Pemuda PKR malam ini.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) menolak keputusan Lembaga Disiplin PKR yang memberikan tempoh 14 hari kepada Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz untuk menjawab surat tunjuk sebab.

Naib Presidennya, Nazlee Mohd Yunus berkata, pimpinan AMK yang bermesyuarat pada malam ini kekal dengan pendirian tegas bahawa Haziq perlu dipecat dari parti serta-merta.

Menurutnya, AMK berharap agar keputusan tersebut dapat disemak dan diteliti semula oleh Lembaga Disiplin dan kepimpinan parti.

"Sebab itu kami di peringkat AMK bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan yang akan berlaku dalam parti dan politik negara.

"Kita melihat bahawa dalam kes ini Haziq perlu dipecat dari parti dan itu pendirian tegas kita," katanya selepas mesyuarat tergempar pimpinan AMK yang berlangsung di Rumah Pemuda malam ini.

Mesyuarat yang berlangsung selama lebih satu jam itu bagaimanapun tidak disertai oleh Ketua AMK, Akmal Nasir.

Terdahulu, Lembaga Disiplin PKR mekaklumkan akan menghantar surat tunjuk sebab kepada Haziq dan dia diberikan masa 14 hari untuk menjawabnya.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim berkata, surat tersebut dikeluarkan kerana Haziq Abdullah telah mencemar nama parti dengan mengeluarkan kenyataan umum yang jatuhkan maruah parti.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada AMK ingin menunggu sehingga tempoh 14 hari bagi Haziq menjawab surat tunjuk sebab tersebut, Nazlee berkata, pimpinan pemuda bertegas dengan keputusan bahawa Haziq perlu dipecat serta merta dari parti.

"Ini satu yang tidak boleh diterima dalam parti dan soal siasatan kita serahkan kepada pihak berkuasa," katanya.

Tambah beliau, menerusi mesyuarat itu juga, pimpinan AMK turut mengambil pendirian tegas bahawa prinsip perjuangan PKR adalah demi kepentingan rakyat di negara ini.

"Pimpinan AMK menolak perjuangan yang semata-mata mempertahankan individu dan keluarga," katanya.