MH17: 'Syukur...5 tahun menunggu akhirnya terjawab'

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Ahli keluarga Allahyarham Norahimah Mohd Noor, 67, seorang daripada penumpang MH17 yang terkorban mahu dalang yang terlibat dalam nahas pesawat itu dikenakan hukuman setimpal.

Adik bongsu Allahyarham, Noorlin Mohd Noor, 52, berkata, tidak kiralah apa juga alasan pihak yang melakukan jenayah itu, mereka perlu menerima hukuman kerana telah menganiaya nyawa yang tidak berdosa.

"Syukur dan Alhamdulillah...selepas hampir lima tahun menunggu akhirnya kita tahu siapa yang bertanggungjawab, namun kita tidak boleh berpuas hati selagi mereka tidak menerima hukuman setimpal.

"Harap pendakwaan yang dilakukan nanti dapat memberi pembelaan kepada mangsa dan keluarga tragedi MH17 ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, tragedi yang mengorbankan 298 penumpang serta anak kapal itu cukup meninggalkan kesan mendalam kepada ahli keluarga meski pun telah lama berlalu.

Katanya, apa juga laporan diberikan sebelum ini termasuk ditembak kerana disangka pesawat tentera tidak lagi penting.

"Jenayah tetap jenayah dan kerana tindakan mereka itulah, ratusan nyawa tidak berdosa termasuk kakak saya terbunuh," katanya.

Hari ini, Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) pada sidang media di Belanda mendedahkan empat suspek sebagai perancang insiden MH17.

Artikel Berkaitan:

Tiga suspek merupakan warga Rusia, sementara seorang warga Ukraine dan ketika kejadian mereka bekerja untuk agensi perisikan tentera (GRU) dari puak pemisah Donetsk People's Republic.

Keempat-empat suspek akan dibicarakan di Belanda bermula 9 Mac tahun hadapan.

Dalam tragedi 17 Julai 2014, pesawat Malaysian Airlines meletup di udara ketika terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur di ruang udara timur Ukraine.

Semua 298 penumpang, sebahagian besarnya rakyat Belanda serta anak kapal terbunuh. Penumpang lain membabitkan rakyat Australian, Britain, Malaysia dan Indonesia.