Orang asli Bateq tunjuk perubahan positif

Dr Zaini Hussin
Dr Zaini Hussin
A
A
A

KOTA BHARU – Mangsa orang asli suku kaum Bateq Kuala Koh, Gua Musang yang dirawat di Hospital Kuala Krai (HKK) dan Hospital Gua Musang (HGM) akibat dijangkiti wabak measles atau demam campak mula menunjukkan perkembangan positif.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata, setakat jam 12 tengah malam pada 18 Jun 2019, jumlah kes yang direkodkan berhubung dengan penularan wabak penyakit itu kekal berjumlah 113 kes termasuk tiga kematian.

Menurutnya, tiada pertambahan kes terbaru membabitkan komuniti berkenaan di hospital sebaliknya kes-kes yang sedia dirawat di wad dua hospital berkenaan mula menunjukkan perkembangan positif.

“Satu kes membabitkan orang asli suku kaum Bateq yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKK sebelum ini sudah berpindah ke wad biasa dan keadaannya kesihatan semakin baik.

“Sejumlah tujuh kes dari HGM pula dipindahkan ke Pusat Latihan Khidmat Negara Etnobotani Gua Musang kerana sudah pulih, bagaimanapun satu kes dari Rumah Inap Orang Asli dirujuk semula ke HGM kerana memerlukan rawatan,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, pihak jabatan kini giat mengatur strategi untuk menjalankan vaksinasi secara pukal kepada penduduk orang asli di Kuala Koh Gua Musang dan masyarakat setempat yang terdedah dengan wabak itu.

“Walaupun keadaan dilihat bertambah baik kami tetap melakukan pemantauan terhadap tahap kesihatan kesemua pesakit suku kaum Bateq dan memulakan vaksin minggu depan bagi mengelak penularan semula wabak demam campak tersebut.

“Kami turut mengadakan dan memperluas saringan di kawasan yang terdedah, memberi pendidikan kesihatan kepada orang asli dan kaunseling kepada penduduk serta para petugas yang menjalankan tanggungjawab mereka di kawasan berisiko tersebut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, perkampungan orang asli suku Bateq di Kuala Koh, Gua Musang tersebut masih kekal zon merah yang menjadi lokasi wabak dan larangan kepada orang awam untuk memasuki kampung berkenaan.

Sinar Harian pada Syawal ketiga yang lalu membongkar kisah orang asli suku kaum Bateq Kuala Koh, Gua Musang meninggal dunia seorang demi seorang sehingga mencecah angka 15 kematian termasuk terbaru membabitkan kanak-kanak lelaki Nasri Rosli, 3, pada 16 Jun lalu.

Isnin lalu, Kementerian Kesihatan mengesahkan wabak measles atau demam campak melanda komuniti orang asli suku Bateq di Kuala Koh, Gua Musang.

Ia berdasarkan keputusan ujian makmal yang mengesahkan 37 daripada 112 kes membabitkan komuniti orang asli itu disebabkan wabak berkenaan termasuk tiga kematian disahkan setakat ini.