Kerjasama Pas-UMNO di tangan perwakilan

No Image Caption
A
A
A

MUKTAMAR Pas telah membuka tirainya minggu lalu dengan berlangsungnya Muktamar Dewan Muslimat. Ia disusuli dengan Muktamar Dewan Pemuda hari ini dan Muktamar Dewan Ulamak esok.

Acara utama, Muktamar Tahunan Pas kali ke-65 pula akan berlangsung hujung minggu ini di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) dengan menyaksikan pemilihan bagi mengisi jawatan tertinggi di peringkat pusat.

Selain pemilihan, tumpuan pastinya diberikan terhadap usul untuk membawa kerjasama parti Islam ini dengan UMNO ke tahap seterusnya.

Pada muktamar tahun lalu, kedua-dua parti bersetuju kerjasama terjalin hanya melibatkan perkara positif dan berkepentingan atas nama semangat pembangkang atau ta'awun (tolong-menolong).

Bagaimanapun, pada muktamar tahun ini kerjasama tersebut dijangka dibincangkan untuk dibawa ke tahap lebih erat iaitu tahaluf.

Di peringkat kepimpinan, kedua-dua Pas dan UMNO sudah pun menubuhkan jawatankuasa teknikal dan induk bagi membincangkan kerjasama itu.

Namun, di peringkat akar umbi Pas, ia bakal dibahaskan melalui usul di Muktamar Tahunan Pas tahun ini dan ia disahkan sendiri oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, sebarang isu yang melibatkan polisi perlu mendapat mandat daripada muktamar terlebih dahulu termasuklah kerjasama Pas-UMNO.

Artikel Berkaitan:

"Selepas itu barulah ia dibawa ke Majlis Syura Ulamak untuk diputuskan," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Dari sudut pandang sebagai kepimpinan tertinggi, Tuan Ibrahim juga positif bahawa usul itu tidak akan mendapat bantahan perwakilan.

"Setakat ini, kita lihat tak ada isu sangat berkenaan kerjasama ini. Insya-ALLAH," katanya.

Bagaimanapun, bagi pemerhati politik, kerjasama Pas-UMNO hanya akan dapat direalisasikan sekiranya perkara itu diterima oleh ahli-ahli dua parti Melayu tersebut.

Penganalisis Politik dan Pengamal Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, buat masa ini peringkat pemimpin tertinggi dan pimpinan pertengahan Pas sudah menyatakan sokongan padu dan memahami perkara tersirat dalam politik membabitkan tahaluf siyasi dan ta'awun yang dimeterai dengan UMNO dan parti bukan Islam seperti MIC dan MCA.

Namun, katanya, proses menerangkan kepada akar umbi harus dijalankan secara berterusan kerana penjelasan di Muktamar Tahunan Pas 2019 sahaja tidak cukup dan menyeluruh untuk memahamkan semua ahli kesefahaman politik ini.

"Mungkin di kawasan-kawasan yang pernah berlangsung Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas Pilihan Raya ke-14 (PRU14) dan menyaksikan jalinan kesepakatan antara Pas- UMNO, mereka sudah faham bentuk dan konsep kerjasama itu. Tetapi di kebanyakan tempat lain, ia masih sesuatu yang janggal dan belum diterima sepenuhnya," katanya.

Nik Ahmad Kamal menambah, pimpinan Pas diperingkat pertengahan iaitu di cawangan perlu melakukan kerja lebih masa dalam usaha mengeluarkan ahli-ahli Pas daripada andaian tidak pasti dan ragu-ragu berkenaan hubungan baharu dalam atmosfera politik mereka sebelum menjelangnya PRU15 yang dijangka akan berlangsung dalam tempoh tiga atau empat tahun dari sekarang.

"Belum capai tahap memuaskan kerana ramai lagi ahli di peringkat akar umbi dalam status tidak pasti, harus diingat mandat daripada akar umbi akan menentukan masa depan hubungan Pas-UMNO.

"Pimpinan Pas ada masa tiga atau empat tahun lagi untuk berdepan PRU15, penjelasan di muktamar kali ini harus dilakukan secara berstrategi untuk pastikan kerjasama ini mendapat sokongan semua peringkat. Muktamar ini penting dan perlu berstrategi, harus ada pelan yang jelas untuk dapatkan persetujuan majoriti akar umbi, itu baru saja Pas, belum lagi ahli UMNO," jelasnya.