Teo Nie Ching nafi cuba campuri urusan pendidikan Islam di sekolah

Teo Nie Ching
Teo Nie Ching
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching menafikan dakwaan beliau cuba mencampuri urusan mata pelajaran Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan.

Sambil menyifatkan tuduhan itu tidak berasas, Nie Ching turut mengakui tohmahan tidak bertanggungjawab itu turut menjejaskan kredibiliti Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK).

Katanya lagi, semalam beliau telah berkongsi mengenai satu kajian mengenai pandangan tentang Mata Pelajaran Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan yang sedang dilaksanakan oleh kementerian dalam akaun Facebooknya, namun niat baik itu telah disalah tafsir sesetengah pihak.

"Buat pengetahuan umum, Pasukan Petugas Khas Pendidikan Islam (PPKPI) dibawah MPPK itu ditubuhkan untuk mengkaji pelbagai aspek mengenai mata pelajaran Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan (Sekolah Rendah).

“Saya amat sedih kerana objektif penubuhan PPKPI yang sepatutnya dipuji kerana mereka dalam usaha untuk menambahbaik modul Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan telah dipolitikkan," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelas Nie Ching lagi, pasukan tersebut akan dipimpin oleh bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Wan Mohd Zahid Mohd Noordin dan semua lantikan itu dibuat oleh Menterinya, Dr Maszlee Malik.

"MPPK merupakan satu badan bebas yang ditubuhkan bagi mengkaji Dasar Pendidikan Negara tanpa campur tangan politik dan penubuhannya juga bersifat profesional serta berperanan untuk menasihati Menteri Pendidikan," katanya.

Tambahnya lagi, sebagai Timbalan Menteri Pendidikan, beliau sememangnya menyokong penuh usaha itu dan memohon maaf kepada MPKK atas segala kekeliruan yang berlaku itu.

Artikel Berkaitan: