Ketua Eksekutif Hong Kong mohon maaf sekali lagi

Carrie Lam
Carrie Lam
A
A
A

HONG KONG - Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam hari ini memohon maaf buat kali kedua kepada seluruh penduduk Hong Kong atas kekurangannya dalam menangani bantahan tentang rang undang-undang ekstradisi kontroversi yang mencetuskan protes mega selama dua minggu berturut-turut di negara itu.

Menurut Lam, insiden itu membuatkan beliau sedar untuk mendengar suara rakyat dan bekerja keras bagi mengimbangi pandangan golongan itu.

Beliau turut memaklumkan tidak akan memulakan semula proses untuk membahaskan rang undang-undang tersebut selagi konflik dalam masyarakat tidak selesai.

"Secara peribadi, saya perlu bertanggungjawab atas perkara ini. Dengan rendah hati, saya meminta maaf kepada seluruh penduduk Hong Kong. Kepada golongan muda yang menyertai protes itu, saya faham anda berharap suara anda didengari oleh saya.

"Berhubungan dengan golongan muda adalah salah satu komitmen saya dalam manifesto ketika pilihan raya," katanya yang tidak menunjukkan tanda mahu meletak jawatan walaupun berdepan desakan banyak pihak.

Lam juga meminta peluang kedua bagi merealisasikan inisiatif untuk meningkatkan ekonomi Hong Kong dan berjanji beliau bersama pasukannya akan bekerja keras dalam tiga tahun akan datang.

"Kami akan mencuba yang terbaik untuk membina semula kepercayaan walaupun banyak berdepan isu sosial dan ekonomi," tambahnya.

Sabtu lalu, Lam mengemukakan permohonan maaf selepas beliau mengumumkan rang undang-undang itu akan ditangguhkan sebagai memenuhi tuntutan kumpulan protes.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, pejabat kerajaan pusat telah dibuka semula selepas beberapa hari bandar raya itu lumpuh akibat demonstrasi mega tersebut yang berakhir semalam. - Agensi