Kekalkan pembinaan rumah mampu milik penjawat awam: Cuepacs

Azih pada media di sidang media di Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri 2019 ANULAE Semenanjung Malaysia di Wisma ANULAE, hari ini. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Azih pada media di sidang media di Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri 2019 ANULAE Semenanjung Malaysia di Wisma ANULAE, hari ini. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan mengekalkan pembinaan rumah mampu milik untuk penjawat awam seperti mana yang telah dilaksanakan sebelum ini.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, perkara itu perlu diteruskan kerana penjawat awam khususnya yang bergaji rendah tidak mampu untuk memiliki kediaman sendiri dan bersaing dengan sektor swasta yang bergaji lebih tinggi.

Katanya, tanpa adanya pembinaan rumah mampu milik khusus untuk penjawat awam itu golongan tersebut tidak berupaya membeli kediaman kerana harga yang ditetapkan pemaju swasta begitu tinggi.

"Akhirnya kita (penjawat awam) tidak mempunyai rumah, tinggal di kuaters, keluar daripad kuaters tidak ada rumah dan menyewa sampai mati.

"Sebab itu Cuepacs mahukan supaya rumah (mampu milik) penjawat awam terus kekal dan dibina walaupun perubahan kerajaan telah berlaku. Kita ingin lihat kerajaan mempunyai keazaman yang tinggi untuk lihat penjawat awam miliki rumah sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika menghadiri Majlis Sambutan Raya Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Penguasa- penguasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) di Jalan Raja Bot, di sini hari ini.

Terdahulu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengumumkan tiada lagi pengkhususan rumah mampu milik khas untuk penjawat awam dilaksanakan sebaik ketetapan baharu Dasar Perumahan Mampu Milik (DRMM) Negara dan Standard Perumahan Kebangsaan (SPK) dilaksanakan.

Kira-kira 9,000 pemohon rumah mampu milik dalam kalangan penjawat awam akan menjadi kumpulan pertama pelaksanaan ketetapan baharu DRMM Negara dan SPK tahun ini.

Artikel Berkaitan: