AS hantar 1,000 tentera tambahan ke Timur Tengah

Patrick Shanahan
Patrick Shanahan
A
A
A

WASHINGTON - Tentera Amerika Syarikat (AS) akan menghantar 1,000 anggota tambahan ke Timur Tengah di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat dengan Iran.

Lewat semalam, pemangku Setiausaha Pertahanan, Patrick Shanahan memaklumkan penempatan itu sebagai respons terhadap 'tingkah laku permusuhan' oleh tentera Iran.

Menurutnya, AS tidak mencari konflik dengan Iran, namun langkah itu diambil untuk memastikan keselamatan dan kebajikan seluruh anggota tentera mereka yang bertugas di rantau terbabit selain melindungi kepentingan negara terbabit.

"Pasukan tentera tambahan itu akan terus memantau situasi dan melakukan pelarasan sewajarnya," ujarnya.

Bagaimanapun, tiada butiran lanjut tentang lokasi penempatan pasukan tentera tambahan tersebut.

Sementara itu, tentera laut AS turut berkongsi imej baharu yang mengaitkan Teheran dengan serangan terbaharu ke atas kapal tangki minyak di Teluk Oman.

Dalam perkembangan lain, Iran mengumumkan ia tidak lagi akan mematuhi sebahagian perjanjian Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) yang dimeterai pada 2015 bertujuan untuk menghalang cita-cita nuklear negara tersebut.

Jelas Teheran, ia akan melanggar had dipersetujui bersama negara antarabangsa berhubung stok uranium diperkaya milik mereka menjelang 27 Jun ini. - Agensi

Artikel Berkaitan: