Dua beradik warga Thailand ditahan terlibat dadah

Dadah yang dirampas daripada dua beradik disimpan di dalam bekas plastik hijau.
Dadah yang dirampas daripada dua beradik disimpan di dalam bekas plastik hijau.
A
A
A

BATU GAJAH - Dua beradik lelaki warga Thailand ditahan polis selepas disyaki terbabit dengan dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Toh Indra Wangsa Ahmad, Kampung Seri Mariah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kedua-dua lelaki berusia 23 dan 30 tahun yang bekerja sebagai tukang masak ditahan di rumah sewa mereka pada jam 2.30 petang.

"Dalam serbuan yang dijalankan pihak polis berjaya menemukan satu bekas plastik hijau yang di dalamnya berisi satu paket plastik lutsinar dadah methamphetamin seberat 0.30 gram.

"Dadah berkenaan ditemui di atas lantai rumah. Turut dijumpai ialah pas sempadan milik dua beradik itu yang didapati telah tinggal lebih masa di negara ini," katanya dalam satu laporan di sini.

Tambahnya, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua beradik berkenaan berasal dari Pattani, Thailand di mana lelaki berusia 23 tahun masuk ke negara ini pada 28 Mac lalu manakala abangnya pada 3 April.

Menurut Ahmad Adnan, siasatan mendapati kedua-dua lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan reman terhadap mereka akan dipohon di mahkamah esok.

"Siasatan terhadap dua beradik ini dijalankan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi masa," katanya.

Artikel Berkaitan: